Garmin kini meperluaskan penawaran jam tangan terbaru mereka untuk pasaran tempatan dengan memperkenalkan Garmin Descent Mk2 dan Garmin Descent Mk2i. Bagi yang berminat, Garmin Descent MK2 dijual pada harga RM6,399 manakala Garmin Descent Mk2i pula berharga RM7,399. Anda boleh mendapatkannya menerusi beberapa saluran berbeza termasuk Lazada dan Shopee.

Garmin Descent Mk2 dan Garmin Descent Mk2i merupakan jam tangan mesra penyelam yang direka khusus untuk tahan dengan kedalaman dan persekitaran bawah air yang ekstrem. Pada masa sama, ia juga sesuai untuk pengguna yang gemar gaya hidup aktif dan lasak. Antara ciri menarik yang disertakan termasuklah pelbagai mod menyelam yang juga boleh disesuaikan, kebolehan menyemak tekanan dan kadar penggunaan udara dalam tangki oksigen, aplikasi sukan dan banyak lagi.

Untuk dalaman, kedua-dua jam tangan ini hadir dengan spesifikasi hampir sama. Tetapi, dengan binaan bezel yang berbeza. Bezel Garmin Descent Mk2 diperbuat daripada bahan keluli tahan karat. Manakala, bezel Garmin Descent Mk2i pula diperbuat daripada bahan khas titanium berlapis berlian (DLC).

Untuk paparan, kedua-duanya hadir dengan skrin bulat bersaiz 1.4-inci pada resolusi 280 x 280 piksel. Hanya satu variasi saiz sahaja ditawarkan iaitu 51mm dengan dua pilihan tali berbeza iaitu jenis titanium atau silikon. Ia juga dilengkapi sejumlah kebolehan asas sebuah jam tangan pintar seperti notifikasi untuk mesej, panggilan dan banyak lagi.
Spesifikasi lain termasuklah kemampuan kalis air sehingga 10 ATM, sokongan untuk GPS, pemantauan kadar degupan jantung dan ketahanan bateri sehingga 80 jam dalam mod menyelam.