Google pada hari ini memonopoli pasaran enjin carian, dan digunakan secara meluas oleh semua pengguna seluruh dunia. Malah, ia diperkatakan Google membayar sehingga $12 bilion untuk menjadi enjin carian utama pada produk keluaran Apple, seperti iPhone.
Terbaru, melalui laporan FT, ia diperkatakan Apple kini sedang meningkatkan usaha untuk membangunkan teknologi carian mereka tersendiri, alternatif untuk Google.
Ia diperkatakan Apple telah mula hadir dengan penyelesaian tersendiri melalui iOS14, yang memaparkan hasil keputusan carian mereka tersendiri apabila pengguna melakukan carian daripada skrin utama peranti.
Seperti ramai sedia maklum, membangunkan sebuah enjin carian untuk mengatasi Google akan mengambil masa bertahun lamanya. Namun, dengan kepakaran teknologi, keupayaan dan juga kebolehan berbelanja untuknya, Apple mungkin berjaya dalam membangunkan enjin carian mereka tersendiri.
Ini bukan kali pertama Apple hadir dengan alternatif penawaran yang menggantikan produk Google. Sebelum ini sendiri, mereka pernah hadir dengan Apple Maps yang menyaingi Google Maps.
Buat masa ini, Apple tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi berkaitan laporan terbaru ini. Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut mengenainya, dan melihat sama ada Apple Search akan dapat menyaingi Google Search ataupun sebaliknya.