Kamera kompak memudahkan proses ia dibawa kemana-mana sahaja tanpa perlu risau akan berlaku kerosakan atau kehilangan komponen. Bagi mereka yang mencari kamera kecil yang boleh dimasukkan ke dalam kocek, DJI Pocket 2 telah dilancarkan minggu lalu sebagai model kemas kini untuk DJI Pocket asal yang dilancarkan dua tahun lalu.
Ia kini disahkan akan mula dijual di Malaysia 1 November ini pada harga RM 1549 untuk model asas dengan kayu kawalan jauh dan versi Creator Combo pula pada harga RM 2169 dengan pelbagai aksesori tambahan.

Menerusi model terkini, Pocket 2 dilengkapi sensor 64-megapixel 1/1.7-inci CMOS yang lebih besar serta lensa dengan sudut lebih lebar.Kemampuan merakam video turut dipertingkatkan ke 4K 60p pada kadar bit 100 Mbps. Pada waktu yang sama rakaman video HDR turut boleh dilakukan tetapi pada tetapan lebih rendah 2.7K. Pada masa yang sama dalam mod kamera kemampuan zum 4X nirhilang dapat dilakukan dengan gambar pada tetapan 16MP.

Gimbal tiga paksi yang disertakan memastikan video yang diambil sentiasa stabil manakala empat mikrofon pula merakam audio dengan lebih baik. Seperti kebanyakan kamera telefon pintar di pasaran, Osmo Pocket 2 juga hadir dengan sistem zum audio untuk memfokuskan rakaman bunyi dari subjek utama.Dengan bateri yang disertakan, Osmo Pocket 2 boleh beroperasi sehingga 140 minit dengan sekali caj.