Android TV tidak dinafikan antara platform popular. Ia banyak digunakan dalam kotak set, dongel atau juga televisyen pintar. Tetapi disebabkan ianya adalah televisyen, jadi penggunaan Internet adalah tinggi untuk memuatkan kandungan dengan resolusi tinggi atau juga mengemaskini sistem operasi atau pemasangan aplikasi yang berbeza versi dengan yang ada di telefon Android.

Terkini, Google menawarkan aplikasi Android TV Data Saver di Play Store. Ia khusus untuk pengguna yang menggunakan Internet dari sambungan hotspot. Menurut wakil Google, mod ini membolehkan pengguna menikmati kandungan tiga kali ganda dengan penggunaan data Internet yang sama. Kemudian setiap 100MB dan 1GB penggunaan, amaran akan diberikan. Aplikasi ini selepas dipasang akan terus terpapar dalam tetapan di Android TV. Sokongan penjimatan data ini juga boleh digunakan bersama-sama dengan aplikasi Files dari Google, jika pengguna ingin siarkan imej atau video ke televisyen.

Buat masa ia hanya terhad kepada peranti Android TV dari Xiaomi, TCL, dan MarQ TV di India. Ia hanya akan diedarkan secara global tidak lama lagi.