Lenovo sebelum ini sedia hadir dengan peranti pintar permainan mereka iaitu Legion Phone Duel yang dilengkapi sejumlah spesifikasi menarik. Kali ini, mereka dilihat hadir dengan penawaran istimewa yang dinamakan Lenovo Legion Gaming Phone Pro Transparent Edition pula. Peranti ini telah diumumkan ketika persidangan Lenovo Tech World 2020, baru-baru ini.

Lenovo Legion Gaming Phone Pro Transparent Edition mempunyai panel belakang yang lutcahaya lengkap dengan rekaan berbentuk ‘X’ pada bahagian tengah. Melaluinya, pengguna boleh melihat komponen dalaman peranti dengan lebih jelas. Turut kelihatan, panel belakang ini juga dihiasi kemasan penutup bewarna putih pada sisi. Buat masa ini, harga jualan masih tidak diketahui. Namun, Lenovo mengatakan ia bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
Sekadar selingan, bagi anda yang berminat untuk memiliki Legion Phone Duel. Peranti pintar ini telah berada di pasaran dan dijual pada harga bermula RM3,399 seunit.