Netflix nampaknya sedikit sebanyak telah meningkatkan harga langganan mereka di beberapa pasaran seperti Kanada. Terkini, ia dilaporkan bahawa pelanggan-pelanggan mereka di Amerika Syarikat juga akan menerima peningkatan harga tersebut dalam masa dua bulan ini.
Untuk pelan asas $9, tiada kenaikan harga akan diperlihatkan, tetapi untuk pelan standard $13, ia akan dinaikkan ke $14, manakala pelan premium dengan sokongan ciri 4K dan HDR akan ditingkatkan dari $16 ke $18.
Beberapa laporan penganalisa industri telah mengatakan bahawa kenaikan harga ini telahpun dijangka sejak awal tahun ini, akan tetapi buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi jika peningkatan harga ini tiba untuk pasaran-pasaran seperti di rantau Asia Tenggara.
Ini adalah kerana negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia mempunyai pelan khusus untuk peranti-peranti mudah-alih. Sebagai perbandingan, Amazon Prime Video mempunyai harga langganan RM25 sebulan, manakala Disney+ HotStar yang baru tiba di Indonesia mempunyai harga langganan 39,000 rupiah ataupun RM11.