Carian
WhatsApp Hadir Dengan Ciri Mesej Menghilang – Mesej Hilang Selepas 7 Hari Dihantar
November 1, 2020 Aman

WhatsApp kini dilihat telah menambah sebuah lagi ciri baru pada perkhidmatan permesejan mereka, iaitu mesej menghilang. Melalui ciri ini, pengguna boleh mengaktifkannya, dan mesej yang dihantar akan hilang selepas tujuh hari mesej tersebut dihantar.

Ciri ini boleh digunakan pada ruang sembang individu atau berkumpulan. Ia boleh diaktifkan oleh sesiapa pada sembang individu, tetapi pada sembang berkumpulan, ciri ini hanya boleh diaktifkan oleh pentadbir sahaja.

Ia tidak diketahui kenapakah ciri ini diperkenalkan oleh pihak WhatsApp. Mungkin ia akan memudahkan anda untuk menghantar sesuatu perkara yang tidak ingin diarkibkan dalam tetingkap sembang anda – atau mungkin untuk menghantar mesej yang tidak perlu dirujuk kembali pada masa akan datang.

Untuk menghantar mesej menghilang ini, pengguna hanya perlu tap pada nama kenalan, klik pada ciri “Mesej Menghilang”, dan aktifkannya. Anda juga boleh mematikannya dengan mengikut langkah sama.

Pengguna turut akan diberikan notifikasi sekiranya sesiapa mengaktifkan ciri berkenaan pada tetingkap sembang WhatsApp.

Komen