Cari @ Amanz

One UI 3.0 ialah pelancar terkini dari Samsung yang berasaskan Android 11. Ia akan mula diberikan kepada beberapa peranti bermula November ini dan sebelum itu Samsung telah berkongsi beberapa tangkapan layar serta ciri baharu yang akan diperkenalkan.

Pertama sekali ialah rekaan semula paparan notifikasi pada skrin kunci. Lebih banyak maklumat boleh dilihat dengan rekaan yang lebih kompak. Notifikasi juga akan dikumpulkan ke dalam kategorinya sendiri mengikut kepentingan seperti yang diperkenalkan menerusi Android 11 sebelum ini. Pengguna juga bakal diberikan pilihan untuk mengkostumasi skrin kunci mereka mengikut kehendak peribadi.

Bagi pengguna peranti skrin boleh-lipat pula, One UI 3.0 membawakan lebih banyak sokongan antaramuka yang berubah secara dinamik mengikut saiz skrin. Menerusi Good Lock pula, pengguna peranti dengan S Pen turut boleh mengubah tetapan Air Command, rupa anak panah dan juga bunyi ketika stylus digunakan.

Panggilan video menggunakan AR Emoji secara skrin penuh juga boleh dilakukan menerusi One UI 3.0. Avatar emoji akan menggantikan pengguna dengan wajah bergerak mengikut memek muka secara masa nyata.

Ini ialah sebahagian daripada ciri yang akan diperkenalkan menerusi One UI 3.0. Walaupun kemas kini akan diberikan bulan ini, senarai peranti gelombang pertama serta tarikh ia akan diberikan belum dikongsi oleh Samsung.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd