Cip pemprosesan grafik kendiri keluaran Intel kini rasmi melalui model Intel Iris Xe MAX yang sebelum ini dilaporkan akan hadir pada komputer riba Acer Swift 3x beberapa minggu yang lalu.

Intel akhirnya telah mengesahkan spesifikasi khusus mengenai cip grafik tersebut, dan ia nampaknya akan bersaing secara terus dengan nama-nama seperti AMD dan NVIDIA dalam membekalkan cip grafi berkuasa didalam rekaan komputer riba nipis dan ringan.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, cip pemprosesan grafik Iris Xe MAX ini dibina menggunakan proses 10nm SuperFin, dan hadir dengan 96 unit pelaksanaan Xe, memori LPDDR4X sebanyak 4GB dan menyokong antaramuka penghantaran data PCIe 4.0.
Intel mengatakan bahawa kad grafik ini akan memfokuskan kepada kemampuan gaming Full HD pada kadar segar semula 30FPS, dan juga pencipta kandungan yang inginkan sebuah komputer riba nipis dan ringan yang berkuasa.

Apa yang lebih menarik lagi ialah ciri Deep Link yang membolehkan kedua-dua GPU didalam komputer riba Intel Tiger Lake untuk bekerjasama dalam memikul tugasan pengolahan grafik 3D.

Bagi mereka yang bekerja didalam industri kreatif, Intel juga mengatakan bahawa cip grafik Iris Xe MAX ini hadir kebolehan mengolah video yang dikatakan dua kali lebih cekap berbanding dengan ciri NVENC yang hadir pada cip pemprosesan grafik NVIDIA.

Intel mengatakan bahawa jenama-jenama komputer riba awal yang akan menggunakan kad grafik ini termasuklah Acer melalui Acer Swift 3x, Dell melalui Dell Inspiron 15 7000 dan ASUS melalui model ASUS VivoBook TP470.
Komputer-komputer riba dengan cip grafik Iris Xe MAX ini dijangka akan tiba di pasaran pada penghujung tahun ini.