Cari @ Amanz

Ulasan Samsung Jet 70 Easy – Untuk Ruang Bujang Berwang

Link Copied!

Trend pasaran semasa ini mesin penyedut hampagas (vakum) dari jenis nirwayar yang menggunakan bateri sepenuhnya. Rekaan yang dipopularkan oleh Dyson kini mula ditawarkan pelbagai pengeluar lain kerana dilihat lebih kompak, ringan dan tidak memerlukan pengguna membeli beg kertas untuk membuang sampah yang telah disedut.

Di Malaysia Samsung Jet 70 ialah mesin pembersih hampagas nirwayar yang dijual pada harga yang paling mampu milik. Menerusi ulasan ini kami akan cuba menjawab beberapa soalan utama seperti adakah berbaloi, apakah keistimewaan, apakah pula kekurangan dan akhir sekali perlukah anda membelinya berbanding apa yang ditawarkan oleh Dyson.

Spesifikasi Dan Rekaan

Rekaan Jet 70 memang mirip sebuah Dyson. Ini bukanlah bermakna Samsung meniru cuma ia kini ialah rekaan standard kesemua mesin vakum nirwayar di pasaran sekarang. Vakum ini terdiri daripada lima komponen utama iaitu motor elektrik dengan pemegang, bateri, balang debu, tangkai penyedut dan kepala yang boleh ditukar

Tangkai utama ini boleh ditanggalkan bagi membolehkan kepala penyedut disambungkan terus kepada unit vakum. Dalam konfigurasi kompak ini, ia amat sesuai digunakan untuk membersihkan permukaan sofa dan meja kerja misalnya.

Kesemua butang kawalan fizikal diletakkan pada bahagian pemegang dengan akses mudah kepada ibu jari. Menerusi butang ini pengguna boleh memilih kekuatan sedutan vakum (rendah, pertengahan dan tinggi) dan yang terpapar pada sebuah skrin LCD dan memadamkannya selepas usai kerja pembersihan. Terdapat juga lampu amaran sekiranya terdapat halangan pada kepala penyedut. Kesemua butang kuasa dan penukaran kekuatan sedutan amat mudah diakses dengan jari. Butang yang sama juga tidak menyakitkan jari kerana cukup lembut untuk ditekan.

Keseluruhan tubuh Jet 70 diperbuat daripada plastik putih dengan beberapa kemasan logam pada bahagian sambungan balang sampah serta perumah kepada motor elektrik dengan kuasa 410W. Sebuah bateri dengan kapasiti 2000 mAh disertakan dan boleh ditanggalkan untuk pengecasan atau ditukar apabila kehabisan cas.

Menerusi sistem penapisan lima peringkat, Samung berkata 99.999% debu boleh ditapis sebelum udara dikembalikan semula menerusi penapis terakhir. Sistem 9 siklon pula memberikan sedutan hampagas yang kuat walaupun menggunakan motor elektrik bersaiz kecil.

Ia sebuah mesin pembersih hampagas yang mempunyai rekabentuk kontemporari. Pada waktu ini ia hanya ditawarkan dalam warna putih dengan kemasan berwarna perak. Kami hanya agak terkejut tiadanya sokongan ciri pintar diberikan sedangkan Samsung menyertakannya pada majoriti peralatan rumah mereka di bawah payung SmartThings.

Kami katakan begini kerana Roidmi misalnya menyertakan sokongan aplikasi untuk melihat tahap bateri dan mengawal kelajuan motor terus dari aplikasi pintar. Mungkin ini ialah langkah penjimatan kos dan kuasa yang dilakukan oleh Samsung.

Jet 70 Easy boleh didirikan dengan mudah apabila ingin disimpan. Tetapi bagi memastikan ia tidak terjatuh sehingga merosakkan motor dan bateri, terdapat dok pengecas merangkap dok menyimpan aksesori tambahan yang disertakan.

Penggunaan

Menggunakan Jet 70 Easy adalah mudah kerana bahagian pemegang yang selesa tetapi tidak licin walaupun diperbuat daripada plastik. Dengan bateri diletakkan betul-betul di bawah bahagian pemegang, mesin pembersih hampagas ini juga amat seimbang ketika dipegang di dalam tangan. Oleh itu proses “memandu” kepala penyedut ketika proses membersihkan rumah menjadi amat senang. Walaupun selepas sesi membersihkan rumah selama 30 minit, tangan tidak terasa lenguh.

Sebagai insan yang dilantik oleh isteri untuk membersihkan rumah menggunakan mesin penyedut hampagas, Jet 70 Easy adalah antara yang paling tidak mendatangkan masalah pernah kami gunakan. Tahap kebersihan yang dicapai alah amat baik malahan setanding dengan mesin hampagas lain yang pernah kami ulas. Ia menyelesaikan beberapa isu yang kami alami apabila menggunakan mesin penyedut hampagas beroda yang wayarnya berselirat, berat dan jauh lebih bising.

Perbezaan dapat dilihat pada kucing di rumah yang tidak terus lari bertempiaran apabila Jet 70 Easy dihidupkan. Si kucing juga membenarkan kami membersihkan bulu ketika ia terlentang di lantai. Semua pemilik kucing tahun kucing biasanya takut dengan mesin penyedut hampagas.

Bunyi yang dihasilkan juga tidak terlalu bingit jika dibandingkan dengan mesin hampagas konvensional. Hanya sedikit lebih bising jika dibandingkan dengan Dyson V11 pada tetapan paling tinggi (86dbA vs 80dbA) Tetapi harus kami nyatakan untuk pembersihan biasa, jarang sekali kami menggunakan Jet 70 Easy pada tetapan tertinggi ini. Pada tetapan sederhana majoriti debu, bulu dan sampah dapat disedut tanpa sebarang masalah.

Kekurangan yang ada pada Jet 70 Easy pada kami ialah pengguna perlu mengubah kekuatan sedutan secara manual menerusi butang “+” dan “-” pada bahagian pemegang. Mungkin kami telah dimanjakan dengan Dyson V11 yang mempunyai sistem automatik yang mengubah kekuatan sedutan secara automatik. Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan penyedut hampagas dengan sistem automatik ini, kehilangannya tidak akan dirasai. Tetapi fitur yang kami sebutkan ini adalah penyebab mengapa Dyson berada di tangga teratas dalam senarai penyedut hampagas paling didambakan.

Dalam set ulasan yang diterima, kami diberikan tiga kepala sahaja. Kepala penyedut bermotor dengan bulu lembut sesuai digunakan pada permukaan lantai kayu atau jubin. Prestasi sedutan adalah amat memuaskan asalkan objek yang ingin disedut tidak terlalu besar ataupun berat. Bahagian bulu mudah ditanggalkan untuk dibasuh sekiranya terlalu kotor. Terdapat juga benang perak anti-statik pada bahagian bulu bagi mengelakkan kotoran melekat dan tidak masuk ke ruang simpanan sampah.

Masalah hanya timbul apabila kepala yang sama digunakan pada permukaan permaidani. Bulu lembut yang berputar tidak cukup kasar untuk mencabut bulu kucing yang banyak di rumah kami. Aneh sekali tiada aksesori kepala berputar dengan bulu kasar dijual untuk Jet 70 Easy pada waktu ini.

Sebuah lagi kepala adalah dari jenis pipih untuk ruang sempit dan kepala berus untuk mencapai ruang tinggi seperti kipas atau bahagian atas rak buku. Ketiga-tiga aksesori ini boleh disambungkan terus kepada tubuh Jet 70 Easy atau menerusi tangkai penyedut yang disertakan.

Balang sampah dengan kapasiti 0.8 L dalam ujian kami tidak cukup besar untuk sebuah apartmen sebesar 1000 kaki persegi. Secara purata balang perlu dikosongkan sehingga empat kali untuk sesi pembersihan yang lengkap. Kekerapan perlu berhenti untuk mengosongkan balang adalah sedikit menjengkelkan. Ini ialah isu utama kesemua pembersih hampagas nirwayar di pasaran terutamanya dari kelas pertengahan seperti Jet 70 Easy.

Keperluan mengosongkan ini tidak akan menjadi isu besar sekiranya balang Jet 70 Easy senang dikosongkan. Pertama sekali ia perlu dicabut dari tubuh utama. Kemudian bahagian penuras dan penutup perlu dengan diputarkan keluar. Akhir sekali isi balang dituang ke dalam tong sampah. Tiga langkah perlu diambil.

Kenapa kami perlu memegang komponen berdebu untuk membersihkan balang sedangkan pada produk ia semudah menolak satu laras sahaja? Kekurangan ini adalah amat ketara kerana ia bukanlah inovasi baru tetapi telahpun diperkenalkan Dyson sejak mula mengeluarkan pembersih hampagas tanpa-beg lebih dua dekad lalu?

Samsung ada menjual bekas dengan rekaan berlainan yang tidak memerlukan bahagian penuras ditanggalkan. Namun begitu ia perlu dibeli dengan Clean Station yang dijual pada harga RM699. Dengan Clean Station bekas sampah hanya perlu ditolak masuk dan sampah disedut keluar sebelum dikumpulkan ke dalam sebuah beg kertas. Ya ada ironi di sini. Anda membeli Jet Z0 Easy untuk sistem pembersihan tanpa beg tetapi Clean Station memerlukan beg kertas boleh-buang.

Bateri

Secara purata kami dapat menggunakan Jet 70 Easy sehingga 30 minit apabila membersihkan rumah. Kami kerap berubah dari tetapan pertengahan dan tinggi semasa mengulasnya. Ini kami rasakan ialah hayat penggunaan yang boleh diterima untuk mereka yang tinggal di dalam apartmen bersaiz sederhana bawah 1000 kaki persegi.

Tiada paparan caj bateri pada skrin LCD. Sebaliknya tiga lampu LED terletak pada sisi pek bateri. Sistem ini seumpama yang biasa dilihat pada powerbank. Selepas kehabisan bateri, tempoh mengecas semula adalah agak lama iaitu 3.5 jam. Tiada sistem pengecasan pantas Adaptive Fast Charging Samsung Galaxy disokong oleh Jet 70 Easy. Tempoh pengecas ini terlalu lama bagi bateri yang hanya sebesar 2000 mAh.

Jika anda merasakan ini tidak mencukupi, bateri tambahan 2000 mAh ada dijual. Kerana sistem bateri boleh-tanggal digunakan, sesi pembersihan boleh diteruskan dengan menggantikan bateri sahaja tanpa perlu menunggu bateri dicas semula.

Izinkan kami bercakap mengenai dok pengecasan yang disertakan. Dok ini perlu digerudi ke dinding untuk membolehkan Jet 70 Easy disimpan secara menegak. Ia bukanlah sistem pengecasan yang elegan dan sedikit besar. Kami jauh lebih menyukai sistem pengecas kompak Dyson yang tidak memerlukan dok khas. Sungguhpun begitu kami memahami mengapi dok digunakan oleh Samsung kerana ia juga merangkap tempah simpanan aksesori kepala yang disertakan dengan setiap pembelian. Dengan ini kesemua aksesori dapat diletakkan setempat.

Kesimpulan

Terdapat banyak pilihan mesin penyedut hampagas nirwayar di pasaran Malaysia sekarang. Dyson ialah raja pasaran kerana mereka yang paling awal memperkenalkannya. Pada hemat kami Samsung Jet 70 Easy ialah sebuah mesin penyedut hampagas yang amat baik untuk mereka yang tinggal di dalam rumah dengan keluasan lantai yang kecil dan bujang. Prestasi pembersihannya setanding dengan Dyson V11 dan begitu juga dengan hayat baterinya.

Dengan berat maksimum sekitar 2.57 kilogram, ia tidak melenguhkan tangan walaupun selepas sesi selama 30 minit. Mengawalnya juga mudah kerana berat yang seimbang. Ia juga berfungsi dengan lebih senyap berbanding mesin penyedut hampagas berwayar yang digunakan selama ini.

Pada harga RM1699, ia adalah sedikit di luar kemampuan kebanyakan pengguna tetapi lebih murah berbanding penawaran Dyson Digital Slim Fluffy Pro di dalam kelas yang sama. Kekurangan pada waktu ini ialah tiada kepala bulu keras untuk membersihkan permaidani dan sistem balang yang agak kecil. Oleh itu kami amat sarankan kepada golongan yang tinggal di ruang bujang dan berwang pada waktu ini.

Pro

  • Rekaan ringan dan seimbang.
  • Membersihkan pelbagai permukaan lantai dengan baik.
  • Mudah dikawal terutamanya pada ruang sempit.
  • Hayat bateri yang baik untuk kelasnya.
  • Tidak terlalu bising dan mesra kucing.
  • Bateri boleh ditanggal dan ditukar ganti.

Kontra

  • Sistem pembersihan bekas sampah yang tidak begitu mesra pengguna.
  • Sukar membersihkan permaidani yang tebal.
  • Pengecasan bateri yang lambat.
  • Bekas simpanan sampah yang kecil.

Komen ()