Cari @ Amanz

Zaman layar ialah era perkapalan yang berlaku di antara 1571-1862 yang membuka peta dunia dan sekaligus menjadi mangkin kepada penyebaran perdagangan pada skala yang besar. Ianya berakhir selepas kuasa stim digunakan kerana ia lebih pantas. Tetapi kini antara penyumbang kepada pencemaran ialah kapal kargo. Oleh itu OceanBird telah dibangunkan oleh firma Wallenius Marine dari Sweden.

Kapal kargo konsep menggunakan kuasa layar sepenuhnya untuk membawa kargo sehingga 7000 kenderaan. Lima “layar” pada OceanBird sebenarnya diperbuat daripada logam dan bukannya kanvas. Ia turut lebih menyerupai sayap kapal terbang yang boleh diubah ketinggiannya dari 20 ke 80 meter dari permukaan laut. Ini membolehkannya berlayar di bawah jambatan tanpa halangan.

Tidak seperti kapal zaman layar, layar pada OceanBird boleh berputar 360 darjah bagi memerangkap udara dari pelbagai sudut. Dengan kuasa angin, ia mengurangkan pelepasan CO2 ke udara sehingga 90%. Impaknya terhadap prestasi hanyalah ia memakan masa 12 hari untuk merentas lautan Atlantik dengan kelajuan purata 10 knot – empat hari lebih perlahan berbanding kapal kargo konvensional.

Pihak Wallenius Marine akan mengambil pesanan pada tahun 2021 dengan pelayaran pertama OceanBird dilakukan menjelang 2024.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd