1More adalah syarikat yang menghasilkan barangan audio. Nama mereka mula naik di zaman Xiaomi menjual set fon telinga Piston. Kenapa? Ini kerana 1More dan Xiaomi mempunyai hubungan yang rapat. Terdapat beberapa aksesori audio Xiaomi dihasilkan oleh 1More. 1More dibangunkan oleh tiga bekas eksekutif Foxconn dan menerima pelaburan dari Xiaomi.
Menurut 1More, mereka adalah pesaing sengit kepada Beats. Produk-produk 1More juga ada banyak yang premium dan mahal selain turut menawarkan pilihan yang mampu milik bagi mereka yang inginkan aksesori audio yang asas. Di Makmal Amanz, telah tiba satu produk dari mereka yang baru sahaja dijual di Malaysia – iaitu 1MORE True Wireless ANC In-Ear Headphones. Kami telah menggunakannya sebagai TWS harian dan ini adalah ulasan kami.
Spesifikasi Dan Rekaan
1MORE True Wireless ANC In-Ear Headphones | |
---|---|
Jenis | Dalam Telinga/TWS |
Mikrofon | Dwi-mikrofon ANC |
Bateri | 55 mAh pada fon telinga 410 mAh pada pod pengecas |
Pengecasan | USB-C/Qi |
Cip Audio | Qualcomm (model tidak tahu) |
CODEC | aptX, AAC |
Sokongan Aplikasi | Android/iOS |
Sokongan pembantu maya | Mengikut peranti |
Pad sesentuh | Ya |
Kemampuan kalis air | Tiada |
Harga Jualan | RM 699 |
Apabila lihat sahaja TWS baharu yang memasuki pasaran Malaysia, pasti kami akan bandingkan dengan Sony WF-1000XM3 dan AirPods Pro. Kemudian tibalah 1MORE True Wireless ANC In-Ear Headphones yang mana adalah pesaing sengit, kerana kualiti audio, kemampuan ANC dan pengalaman penggunaan. TWS 1More ini pertama sekali jauh sekali bezanya dengan produk Apple atau Sony. 1More menggunakan rekaan yang lebih berbeza dan berani.
Pada pod pengecasan, ia menggunakan besi dan rasa sangat kukuh dan mungkin akan tahan lama. Ia juga berat dan sedap apabila dipegang, terasa yang ia adalah satu produk yang mewah. Luarannya ringkas sahaja dengan lampu LED di hadapan, takuk untuk membuka, logo 1MORE di atas, ada engsel dan USB-C di belakang dan akhir sekali bahagian bawah yang ada getah untuk cengkaman.
Sebaik sahaja dibuka, bermain buku tutup juga amat memuaskan. Ia seakan menjadi pemutar kegelisahan. Gemar kami bermain buka tutup dan buka tutup pod pengecasan TWS ini. Di dalamnya mula kelihatan setiap satu fon telinga. Bentuknya bujur dan kelihatan ringkas sahaja. Ia menggunakan kemasan yang licin di atas di mana logo 1More tertera sekali lagi. Tetapi di bawah kemasan ini kelihatan seakan corak gentian karbon. Tidak pasti sama ada ia adalah rekaan sahaja atau bahan yang sebenar.
Turut kelihatan kekisi berwarna merah. Ia kemudian mempunyai bahagian yang diperbuat daripada plastik. Ia tebal dan terus ke bahagian silikon. Silikon pula mempunyai dua bahagian, untuk cangkuk dan untuk dalam telinga. Cara pengecasan adalah magnetik. Rekaan ini sedikit mengelirukan dan juga melecehkan kami. Disebabkan terdapat dua bahagian silikon, kami perlu mencuba kesemua 12 silikon untuk mencari saiz yang terbaik.
Sedikit mengecewakan, walaupun sudah banyak saiz kami cuba – tiada yang benar-benar muat. Jadi ia agak menjengkelkan. Walaupun ia masih tidak mudah tertanggal, tetapi disebabkan ia sedikit longgar atau sedikit ketat (mengikut siapa pengguna) akan ada perasaan – bila agaknya fon telinga ini akan jatuh.
Kualiti Audio
Disebabkan fokus utama 1More pada TWS ini adalah kemampuan pembatalan hingar aktif, mari kami jelaskan terlebih dahulu berkenaan dengannya. Pertama sekali, ia bukannya gimik. Ia benar-benar mematikan bunyi bising di keliling. Jika di luar angin kuat, hanya akan kedengaran tiupan angin yang lembut sahaja. Kemudian di kawasan banyak kereta, bunyi enjin dan bunyi kenderaan tidak begitu bising. Terdapat tiga aras pembatalan hingar aktif satu yang biasa, kedua yang paling kuat dan ketiga adalah mod ambien.
Mod pembatalan hingar aktif yang paling kuat pada hemat kami, terlampau kuat. Ia seakan ada kesan tekanan menghempap telinga pengguna dan penggunaan tempoh lebih 30 minit akan rasa tidak selesa. Mod yang paling sesuai adalah mod biasa yang selesa, tidak begitu kuat dan mematikan hingar yang sepatutnya dimatikan. Ia memberikan pengalaman pendengaran yang amat hebat.
Kami bandingkan dengan Sony WF-1000XM3 dan AirPods Pro, 1More ini boleh dikatakan setaraf dan cukup hebat. Ia berada di tengah-tengah dan layak dikira sebagai aksesori audio premium. Namun, Sony tetap juara dan 1More dilihat mampu menandingi Apple sedikit sahaja.
Aras suara dilihat tidak begitu konsisten. Ia seakan tidak padan dengan aras suara dengan peranti. Tetapan di peranti lain dan pada TWS pula lain. Ia tidak begitu kuat, yang mana menjadikan pengalaman pendengaran muzik sedikit hambar. Tetapi apa yang mengejutkan adalah, mid pada 1More True Wireless ANC In-Ear Headphones ini tidak dapat dilupakan. Bunyinya lembut, enak didengari, mempunyai butiran yang jitu dan tidak kira lelaki atau wanita – suara masing-masing cukup seimbang dan seronok untuk didengari.
Bukan itu sahaja, bahagian mid iaitu vokal – ia turut dekat dengan pengguna seakan mendengar muzik secara bersemuka dengan penyanyi. Untuk low atau bass, ia tidak begitu berdentum dengan begitu kuat. Tetapi, impak dari bass ini cukup baik dan terkawal yang mana memberikan pengalaman pendengaran itu memuaskan hati. Dentuman bass juga turut bersambung dalam setiap gema yang memberikan pengalaman lebih imersif.
High pula iaitu nada tinggi, pada huruf “S” ia sedikit berdesis dan tajam. Ia ada bunyi sibilan, yang enak didengari dan tidak begitu tajam. Ini bermakna, kualiti audio pada TWS ini adalah hebat dan A+. Kami tidak sangka untuk jenama sebegini mempunyai kualiti yang memeranjatkan.
Untuk pementasan audio, pendengaran adalah seakan mempunyai jarak di telinga. Ia sedikit jauh. Tetapi ia mempunyai posisi mendatar yang baik sekali.
Dari pengalaman kami dengan AirPods Pro dan Sony WF-1000XM3 – 1More ini lebih kepada kualiti audio. Bagi yang lebih pentingkan kualiti audio – 1More adalah di tempat pertama, Sony di tempat kedua dan Apple ketiga. Tetapi bagi yang mementingkan pembatalan hingar aktif, Sony masih lagi juara.
TWS 1More ini juga merupakan TWS yang diiktiraf oleh THX pertama dunia. Ini menjadikan kelas TWS ini berada di kelas premium dan mercu.
Keselesaan
Walaupun secara keseluruhan TWS ini sudah cukup baik, pemakaian aksesori audio ini boleh jadi menjengkelkan. Fon telinga ini mempunyai dua bahagian silikon, satu untuk dalam telinga dan satu bertindak sebagai cangkuk. Terdapat dua jenis silikon untuk fon dalam telinga – pengguna harus memilih saiz terbaik untuk digunakan.
Masalah kami adalah, yang besar terlampau besar, yang kecil terlampau kecil dan yang di tengah-tengah tidak mempunyai saiz yang tepat. Ini memberikan perasaan, fon telinga yang berada di dalam telinga seakan mudah terjatuh.
Kawalan Dan Fungsi Pintar
Seperti kebanyakan TWS, 1More juga merupakan TWS yang mempunyai aplikasi untuk iOS dan Android.Aplikasi ini adalah untuk kawalan dan juga mengemaskini perisian TWS tersebut.Aplikasinya adalah asas, tidak begitu mesra pengguna dan hanya berfungsi kadangkala sahaja. Aplikasi ini kami gunakan untuk tujuan kemaskini sahaja, lain-lain kami tidak mengubah tetapan dan jika ada perubahan itu adalah pada aplikasi muzik itu sahaja.
Terdapat dua kaedah kawalan, iaitu sentuhan dan juga menekan butang fizikal. Sentuhan adalah untuk kitaran mod pembatalan hingar aktif. Sekali untuk mod pertama, dua tap untuk mod kedua dan tap ketiga untuk mod ambien. Kawalan sentuhan berfungsi dengan baik sahaja, cuma kawalan pada butang fizikal yang tidak begitu berfungsi dengan baik.
Kadang-kadang tekan dua kali disangka tekan sekali. Kemudian tekan sekali disangka pula tekan dan tahan. Ini amat menjengkelkan dan menyukarkan penggunaan. Kami akhirnya tetapkan pada mod yang kami selesa. Aras suara 50%-70% mengikut keadaan mod pembatalan hingar aktif kedua, dan kawalan sedia ada.
Bateri
Ketahanan bateri pada TWS 1More ini adalah bergantung kepada cara penggunaan. Apa yang boleh katakan, bateri TWS ini langsung tidak mengecewakan. 1More mempromosikan ketahanan bateri serendah 4-5 jam dengan mod ANC hidup atau mati, aras suara 50% dengan codec AAC. Manakala ia boleh bertahan selama 5-6 jam jika mod stereo dengan ANC hidup/mati dengan format media yang sama.
Untuk pod pengecasan, 1More katakan ia boleh bertahan dari 18 jam sehingga 22 jam. Ia kemudian menggunakan USB-C atau pengecsan nirwayar.
Penggunaan kami adalah sekitar 50%-70% aras suara, bertukar-tukar antara AAC dan aptX, dan mod ANC yang kadangkala hidup dan kadangkala mati. Sepanjang satu minggu penggunaan yang bersahaja, pod pengecasan masih ada baki bateri. Fon telinga pula kami cas selepas 30 minit – 2 jam penggunaan. Ini bermakna dalam satu minggu, kami hanya mengecas sekitar satu kali sahaja.
Ketahanan bateri TWS ini adalah seperti yang dikatakan dan bukannya gimik.
Kesimpulan
Seperti yang kami katakan tadi, 1More ini adalah TWS yang premium dan berada dalam kelas mercu. Ia mempunyai kualiti audio yang sangat baik. Pengalaman mendengar muzik dengan TWS ini adalah antara yang terhebat dalam pengalaman kami. Sayang sekali, ia tidak begitu selesa. Kami gemar dengan penyampaian audionya serta rekaan dan ketahanan bateri.
Tidak lupa juga untuk kualiti pembatalan hingar aktifnya yang gila hebat. Mungkin belum berada di tahap Sony lagi, tetapi jika dibandingkan dengan jenama-jenama China lain – 1More dilihat telah mendahului ke hadapan. Bagi yang pentingkan kualiti audio, tidak hirau akan ekosistem – 1More adalah yang terbaik. Tetapi untuk pengalaman keseluruhan lebih baik, Sony masih juara dengan ANC yang hebat, aplikasi yang baik, sokongan 360 Reality Audio. 1More lebih kepada yang beli sahaja, semuanya telah tersedia tidak ada banyak kawalan tidak ada banyak kerja – pakai sudah dapat apa yang ditawarkan.
Harga jualan adalah RM699. Jika dibandingkan dengan Sony, ada sahaja penjual menjual pada harga lebih kurang sama. Harga ini adalah harga yang tidak mahal, dengan kemampuan ANC serta kualiti audio dan juga bahan binaan – ia dijual pada harga yang baik-baik sahaja. Jangan banding dengan jenama China lain, kerana 1More adalah premium, pro dan mahal. Mereka ingin bersaing dengan Beats.
Pro
- Fungsi ANC yang sangat baik dan hebat
- Kualiti audio yang amat memuaskan dan enak didengari
- Kualiti binaan yang premium, rasa kukuh dan yakin akan tahan lama
- Ketahanan bateri yang memuaskan
- Sokongan pengecesan nirwayar
- Rekaan yang unik
Kontra
- Tiada perlindungan IP untuk debu dan air
- Fon telinga tidak begitu selesa dan rasa seakan akan tertanggal
- Aplikasi yang tidak mesra pengguna
- Kawalan butang yang tidak begitu responsif
- Cara tambatan yang sedikit leceh