Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 telah dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menguruskan ruang angkasa negara. Ia dibentangkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin akan menetapkan fungsi Lembaga Angkasa Malaysia (LAM) iaitu menasihati kerajaan serta memastikan pelaksanaan berkesan akta itu kelak, selain mengeluarkan garis panduan dan arahan berkaitan akta itu.
Antara di bawah bidang kuasa LAM ialah menguruskan industri angkasa lepas negara termasuk pelesenan, perlombongan, pelancaran dan pembinaan di angkasa lepas. Ia selari dengan Perjanjian Angkasa Lepas 1967 yang hanya membenarkan pengembaraan angkasa lepas untuk tujuan keamanan sahaja. Selain itu RUU LAM 2020 juga mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan denda bagi individu yang gagal melaporkan penemuan objek dari angkasa lepas seperti meteorit dengan denda mencecah RM10,000.
Terdahulu menerusi ciapan dari akaun rasmi beliau, Khairy Jamaluddin berkata pembangunan dan pengurusan ekonomi angkasa perlu dilakukan kerana bakal menyumbang RM3.2bilion kepada KDNK menjelang 2030.