Model komputer riba MSI GE66 diperkenalkan pada awal tahun ini sebagai sebuah komputer riba kelas premium yang bukan sahaja hadir dengan rekaan kemas, tetapi juga komponen-komponen yang sangat berkuasa.

Kini, MSI telah bekerjasama dengan Ubisoft untuk membangunkan MSI GE66 Edisi Assassin’s Creed Valhalla terhad. Dari segi spesifikasi, komputer riba ini dilengkapi paparan skrin IPS bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 240Hz.

Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-10875H, memori DDR4 sebanyak 32GB dan storan SSD NVMe sebesar 1TB. Dari segi grafik pula, pengguna diberi pilihan untuk membeli model yang hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 ataupun NVIDIA GeForce RTX 2060.
Apa yang membuatkan komputer riba ini unik ialah rekaan di bahagian belakang paparan dimana ia hadir dengan corak logo Assassin’s Creed Valhalla, bersama-sama dengan seekor burung gagak yang bernama Synin yang akan menjadi teman anda didalam permainan tersebut.

Sayangnya komputer riba edisi terhad ini hanya akan tiba untuk pasaran Jepun (buat masa ini), dan pra-tempah untuk komputer riba tersebut hanya boleh dibuat melalui MSI Store Jepun pada November 10 kelak.

MSI GE66 Assassin’s Creed Valhalla ini bemula dari harga 229,799 yen untuk model NVIDIA GeForce RTX 2060, dan 269,800 yen untuk model NVIDIA GeForce RTX 2070.