Cari @ Amanz

Mini-LED adalah alternatif kepada OLED. Ia adalah pengganti kepada LCD dengan kualiti imej dan nilai kegelapan yang lebih baik. Ia dikatakan alternatif kepada OLED kerana ia boleh berfungsi seakan OLED dengan mematikan bahagian tertentu untuk memaparkan warna hitam yang benar-benar gelap.

Menurut laporan, akan terdapat 4.4 juta unit televisyen mini-LED menjelang tahun 2021. 2 juta unit adalah dari Samsung. Samsung akan menawarkan pilihan 55-inci, 65-inci, 75-inci dan 85-inci dengan resolusi 4K. Samsung dikatakan akan menggunakan nama QLED miniLED TV untuk produk ini. Komponen-komponen miniLED mereka juga telah pun siap dihasilkan oleh Seoul Viosys dan PlayNitride.

Bagi LG pula, mereka akan hadir dengan televisyen 4K dan 8K bersaiz 70-inci. Ia akan berada dalam kategori televisyen premium mereka di bawah nama Nanocell. Walau bagaimanapun, mini-LED bukannya fokus LG. Mereka dilaporkan akan kekal fokus kepada OLED dengan perancangan untuk memasarkan 8 juta panel OLED untuk televisyen pada tahun 2021.

Buat masa ini, pasaran miniLED masih lagi tidak menentu. Ramai mengharapkan ia boleh menjadi trend agar boleh terus menggantikan LCD dan kos pembuatan miniLED boleh menjadi murah jika permintaan sudah menjadi tinggi. Apple juga dilaporkan akan menggunakan miniLED pada MacBook dan iPad. TCL, Skyworth dan jenama lain turut berhasrat untuk hadir dengan televisyen ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd