Zepp sebelum ini sedia hadir dengan rangkaian peranti boleh pakai yang dilengkapi teknologi serba canggih menerusi pengenalan siri Zepp E. Siri ini hadir dengan dua pilihan berbeza – Zepp E Circle dan Zepp E Square. Bagaimanapun, spesifikasi dalaman untuk kedua-duanya adalah sama.

Terkini, Zepp dilihat dalam perancangan untuk pengenalan produk baharu lagi. Ia berikutan tersebarnya poster acah yang memperlihatkan sebuah acara pelancaran produk bakal diadakan pada 17 November ini. Poster berkenaan juga dilihat turut berkongsi sedikit sebanyak maklumat berkaitan produk, termasuk rekaan yang bakal disertakan padanya.
Mungkin dilancarkan sebagai siri Zepp Z, ia dipercayai hadir dengan reka bentuk klasik bersama tubuh yang diperbuat daripada logam. Ia juga dilihat seakan menyertakan tali berasaskan kulit, selain dilengkapi tiga butang fizikal yang mungkin digunakan untuk tujuan navigasi. Tiada sebarang maklumat berkaitan spesifikasi yang ditemui buat masa ini. Segalanya bakal terjawab ketika acara pelancaran rasmi kelak.