Konsep: Pek Bateri MagSafe Boleh Menjadi Pengganti Kepada Smart Battery Case

Konsep: Pek Bateri MagSafe Boleh Menjadi Pengganti Kepada Smart Battery Case

Diterbitkan pada Nov 5, 2020 oleh .

MagSafe sedia terkenal pada MacBook sebagai pengecas yang selamat dan komputer riba tidak akan terpelanting atau terjatuh jika kaki tersadung pada wayar. Walaupun ramai inginkan MagSafe kembali kepada MacBook, Apple tetap kekalkan dengan USB-C. Tetapi pada iPhone 12, Apple kembalikan MagSafe yang mana ramai tidak jangkakan iPhone adalah produk pilihan Apple untuk sistem pengecasan ini dikembalikan.

MagSafe adalah sistem aksesori magnetik dari Apple. Ia ada pengecas nirwayar pantas 15W (iPhone 12 Mini hanya 12W) yang mana adalah dua kali ganda dari 7.5W sebelum ini. Apple turut mempunyai aksesori seperti dompet dan dwi-pengecas yang boleh mengecas iPhone 12 dan Apple Watch serentak. Terkini, sebuah konsep produk dilihat boleh menjadi pengganti kepada Apple Smart Battery Case. Ia adalah pek bateri bermagnet yang boleh memberi kuasa sandaran kepada iPhone 12.

Ia dilihat seakan aksesori modular yang menarik. Hanya lekatkan pek bateri ini di belakang iPhone dan pengecasan nirwayar akan bermula. Ia boleh dikatakan seakan power bank dengan sokongan pengecasan nirwayar. Imej turut memperlihatkan ada port sambungan di bahagian bawah. Alternatif, ia boleh dicas menggunakan MagSafe juga. Lebih menarik, konsep ini memperlihatkan pek bateri MagSafe ini mengecas iPhone sambil ia sedang dicas dengan pengecas MagSafe.

Sayang sekali, magnet di dalam iPhone 12 adalah tidak begitu kuat berbanding dengan magnet yang digunakan untuk menyambung kerangka papan kekunci mereka. Jadi, aksesori seperti berkemungkinan besar tidak dapat menjadi realiti. Kecuali jika ada jenama pihak ketiga ingin hadir dengan konsep sebegini. Kemudian, aksesori Apple terkenal dengan harga yang mahal. Jadi tidak terkejut jika Apple hadir dengan aksesori ini ia akan dijual pada harga ratusan ringgit dengan kapasiti bateri yang rendah.



Paling Popular