Produk peranti berhubung Xiaomi semakin lama semakin banyak. Tidak terputus barangan dalam kategori ini Xiaomi lancarkan, tidak kira buatan sendiri atau kerjasama dengan jenama lain. Xiaomi kini boleh dikatakan mempunyai ekosistem yang lengkap, lagi-lagi di China untuk sebuah rumah atau pejabat yang benar-benar pintar.

Xiaomi sudah ada barangan elektrik pintar seperti peti ais, mesin basuh, dapur masak, pendingin hawa, sistem lampu, pembesar suara, televisyen dan banyak lagi. Tidak cukup dengan itu, mangkuk tandas dan set katil/sofa juga ada yang pintar. Terkini, Xiaomi telah hadir dengan sistem operasi baru khusus untuk peranti berhubung mereka – iaitu Xiaomi Vela.
Menurut Xiaomi, Vela bermaksud layar dalam bahasa Latin. Xiaomi ingin berlayar ke arah peranit berhubung yang lebih baik untuk masa hadapan. Xiaomi Vela dibangunkan berasaskan NuttX OS, iaitu sistem operasi terbenam sumber terbuka. Xiaomi Vela adalah lebih sesuai digunakan dan lebih mudah untuk diedarkan dari segi implementasi pelbagai perisian dan perkakasan serta pengedaran kemaskini.
Menurut Xiaomi, mereka kini mempunyai 271 juta peranti berhubung. Ini adalah termasuk dari jenama sendiri dan jenama luar yang bekerjasama dengan mereka. Semua jenama ini digalakkan menggunakan Xiaomi Vela dan boleh mula mengujinya.