Cari @ Amanz

Razer ialah sebuah jenama yang biasanya dikenali untuk peranti dan aksesori gaming mereka. Malah, mereka adalah diantara jenama-jenama yang telah mempopularkan model komputer riba nipis dan ringan yang dibangunkan khas untuk gaming.

Mengambil ilham daripada siri komputer riba mereka sendiri, syarikat tersebut telah memperkenalkan Razer Book 13, iaitu sebuah komputer riba padat yang dibina khusus untuk tujuan produktiviti, khususnya bagi mereka yang bekerja dari rumah, ataupun didalam ruangan yang kecil.

Razer Book 13 hadir dengan paparan bersaiz 13.4 inci, dimana ia hadir dengan pilihan model Full HD, Full HD dengan kemampuan sesentuh, ataupun UHD dengan kemampuan sesentuh.

Bagi mereka yang bekerja didalam industri rekaan, paparan-paparan ini juga menyokong 100 peratus gamut warna sRGB dan mempunyai kejituan warna yang tinggi, walaupun apabila dilihat pada pelbagai sudut.

Dari segi spesifikasi, ia dikuasakan pilihan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, sehingga Intel Core i7-1165G7, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD NVMe sebesar 512GB. Dari segi cip grafik pula, ia hadir dengan cip grafik Intel Iris Xe yang terbina didalam CPU.

Dari segi rekaan, rangka Razer Book 13 ini diperbuat daripada satu bongkah aluminum yang memastikan komputer riba ini tahan lasak dan juga ringan. Pada ketebalan 1.5cm sahaja dengan berat sekitar 1.3kg, komputer riba ini juga cukup nipis dan ringan untuk dibawa kemana-mana.

Dari segi palam I/O pula, komputer riba ini tiba dengan sejumlah teknologi baru, seperti dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.0 dan satu pembaca kad MicroSD.

Bukan itu sahaja, komputer riba ini turut menyokong sambungan WiFi 6 terbaru yang menyokong sambungan internet pantas jika penghala yang digunakan menyokongnya.

Gabungan semua komponen-komponen ini menjadikan Razer Book 13 ini sebagai komputer riba dengan pengesahan Intel Evo pertama keluaran Razer.

Model paling mampu milik Razer Book 13 ini bermula pada harga $1199 dengan CPU Intel Core i5-1135G7, memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan 256GB.

Model paling premium ialah Razer Book 13 yang dikuasakan oleh Intel Core i7-1165G7, memori 16GB, storan 512GB dan mempunyai paparan UHD dengan kebolehan sesentuh pada harga $1999.

Pra-tempah siri komputer riba ini baru dibuka melalui Razer Store, dan akan mula keluar di pasaran pada 30 November kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd