Cari @ Amanz

Android, pada hari ini merupakan salah satu sistem operasi yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Ia telah diperkenalkan oleh Google buat pertama kalinya pada 5 November 2007, sebelum pengenalan komersil pada 23 September 2008.

Sebelum tarikh 5 November 2007, pelbagai spekulasi telah mengatakan Google akan menyertai arena telefon pintar, dan pada tarikh ini, Google mengesahkan perkara berkenaan. Spekulasi ini hadir selari dengan pengambil-alihan Android oleh Google pada 2005 yang lepas, dalam usaha pada awalnya memfokuskan carian pada peranti mudah-alih.

Jikalau kita lihat sendiri rekaan peranti awal Android, ia bukan berasaskan input secara skrin sentuh sepenuhnya, tetapi dengan penyertaan papan kekunci fizikal – seumpama BlackBerry. Namun, selepas melalui beberapa perubahan, Google memperkenalkan peranti pertama bersama pihak HTC, iaitu HTC Dream.

Sejak daripada itu, pelbagai rakan kerjasama telah menggunakan platform Android, dan kini ia membantu ramai dalam berhubung, atau menjadi komputer pertama mereka. Kedai aplikasi yang dulu dinamakan sebagai Android Market juga kini telah dijenamakan kepada Google Play Store.

Kini, Android telah mencapai angka versi Android 11, dan pihak Google sendiri kini mempunyai pengeluaran peranti sendiri dibawah siri Pixel.

Sedikit trivia untuk anda, tahukah anda, pada awalnya Android dibangunkan memfokuskan kepada hanya kamera digital dan bukannya telefon.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd