Sejak kebelakangan ini, kandungan berbentuk audio semakin mendapat perhatian ramai – apatah lagi dengan Apple dan Spotify bersaing dalam arena podcast selain lagu-lagu biasa. Pada peringkat global, beberapa syarikat turut beroperasi dengan memfokuskan penerbitan podcast, dan salah satunya adalah Wondery.
Mengikut laporan baru, ia diperkatakan Apple dan juga Sony dalam perbincangan untuk mengambil-alih syarikat Wondery berkenaan. Ia diperkatakan mungkin mencapai nilai pengambil-alihan sekitar $400 juta.
Pengambil-alihan ini akan menguntungkan kedua-dua pihak. Untuk Apple, mereka boleh menambah kandungan berkenaan dibawah Apple Music. Manakala untuk Sony pula, ia akan mempelbagaikan kandungan yang ditawarkan dibawah label Sony Music Entertainment.
Buat masa ini, kedua-dua pihak dilaporkan masih pada peringkat perbincangan awal. Bercakap mengenai podcast, sebelum ini Spotify telah mengambil-alih Gimlet Media dalam mengukuhkan penawaran podcast mereka.