DuitNow QR merupakan salah satu inisiatif dari pihak PayNet dalam usaha untuk menyelarikan penggunaan kod QR dikalangan bank dan dompet digital. Dengan langkah ini, ia membolehkan anda menggunakan sebarang aplikasi perbankan atau dompet digital yang digemari anda, dan melakukan pembayaran kepada pekedai dengan mudah.
Ini juga akan mengurangkan paparan kod QR di kedai, selain memudahkan pengguna untuk tidak perlu memasang lambakan dompet digital pada perantii mereka.
Terbaru, melalui laman DuitNow QR, mereka menyatakan dompet digital ShopeePay akan menyokong ciri ini pada 30 November 2020 ini.
Seterusnya, dua lagi dompet digital popular yang akan mengintegrasikan ciri ini pada 15 Disember 2020 kelak – iaitu GrabPay dan juga Touch n Go eWallet.

Beberapa aplikasi lain turut dijangka menambah ciri ini secara berperingkat kepada aplikasi masing-masing selepas itu. Dengan pengenalan ciri ini kelak, ia dijangka akan mengubah kepada kaedah penggunaan dompet digital – selain lebih memudahkan pengguna dan pekedai dalam menyelarikan transaksi masing-masing.