Cari @ Amanz

Tidak lama dahulu, Lenovo telah memperkenalkan komputer riba paling unik mereka, iaitu Lenovo ThinkPad X1 Fold yang hadir dengan paparan skrin boleh lipat yang pertama di dunia.

Komputer riba ini baru-baru ini telah dilihat di laman web Lenovo Malaysia, dimana ia dilengkapi dengan paparan boleh-lipat dan boleh-sentuh OLED 13.3 inci dengan resolusi QXGA 1536×2048.

Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-L16G7, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga pilihan storan 256GB sehingga 1TB.

Sayangnya ThinkPad X1 Fold ini hanya hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi6 dan Bluetooth 5.0 sahaja. Pilihan untuk memuatkan modul sokongan rangkaian selular 4G dan 5G tidak ada untuk pasaran tempatan.

Dari segi jangka-hayat bateri, Lenovo ThinkPad X1 Fold hadir dengan bateri bersaiz 50Wh yang mampu menghidupkan komputer riba ini selama 11 jam dengan satu pengecasan penuh.

Lenovo juga memperlihatkan aksesori-aksesori lain seperti papan kekunci dan tetikus yang boleh disambung kepada komputer riba ini jika anda tidak gemar menggunakan papan kekunci digital yang terbina didalam sistem operasi Windows 10.

Lenovo ThinkPad X1 Fold ini sudahpun boleh dibeli melalui laman web Lenovo Malaysia hari ini, pada harga permulaan RM10,849.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd