Google Pixel 4a adalah peranti kelas pertengahan kedua daripada Google. Ia merupakan peranti yang diperbuat dari plastik, ringkas, untuk kegunaan asas sambil mengekalkan prestasi kamera yang hebat seakan sebuah peranti mercu. Memegang peranti ini tidak dinafikan terasa begitu kecil dan seakan sebuah peranti mainan sahaja.
Mengejutkan, peranti ini melepas ujian seksaan Zack dalam saluran YouTube beliau – JerryRigEverything. Peranti ini walaupun mudah digores dengan pisau kerana bahan plastiknya, ia tahan bengkok dan tidak mudah patah seakan peranti aluminium. Peranti plastik “murah” ini mengingatkan saya kepada Nextbit Robin yang mudah patah seakan KitKat. Bukan itu sahaja, skrin peranti ini turut calar di tahap 6 pada skala Mohs. Ini adalah ketahanan yang sama ditemui pada Galaxy Note20 Ultra dengan kaca Victus atau iPhone 12 dengan Ceramic Shield.
Bukan itu sahaja, ketika peranti ini sedang cuba dipatahkan – skrin kekal begitu sahaja dan tidak retak atau pecah. Ini membuktikan, tidak bermakna peranti murah dan plastik adalah berkualiti rendah. Malah boleh bertahan seakan peranti mercu. Apa kata anda?