Intel telah memperkenalkan siri CPU Intel generasi ke-11 mereka, Tiger Lake pada bulan lalu, dan ia dijangka akan menguasakan banyak siri komputer riba dalam masa terdekat ini.
Terkini, ia telah diumumkan bahawa ASUS Malaysia akan membawa masuk siri komputer riba ASUS VivoBook, yang terdiri daripada ASUS VivoBook dan ASUS VivoBook S15 untuk pasaran tempatan pada penghujung bulan ini.
Bermula dengan ASUS VivoBook S, siri komputer riba ini terdiri daripada VivoBook S14 dan VivoBook S15, dimana ia hadir dengan pilihan paparan 14.0 dan 15.6 inci dengan resolusi Full HD.
Dari segi spesifikasi, siri komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-1135G7, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD NVMe sebesar 512GB. Model VivoBook S15 hadir dengan cip pemprosesan Intel Iris Xe, manakala VivoBook 14 dan 15 dikuasakan cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce MX350.
Kedua-dua komputer riba ini juga hadir dengan sokongan untuk teknologi sambungan nirwayar seperti WiFi6 dan juga Bluetooth 5.0 Untuk model VivoBook S15, ia hadir dengan sokongan untuk Thunderbolt 4 dengan kadar penghantaran data sepantas 40Gbps.
ASUS Vivobook 14 dan 15 pula dilengkapi dengan palam USB 3.2 Type-C yang mempunyai kadar penghantaran data sepantas 10Gbps. Dari segi rekaan, kedua-dua komputer riba ini hadir dengan rekaan nipis kurang dari 20mm dan berat kurang dari 2KG.
ASUS VivoBook S15 hadir dengan pilihan warna berikut: Indie Black, Gaia Green, Resolute Red dan Dreamy Silver, manakala ASUS VivoBook 14 dan 15 mempunyai pilihan warna Hearty Gold, Transparent Silver dan Indie Black.
Tanda harga untuk kedua-dua model komputer riba ini juga diperlihatkan. ASUS Vivobook 14 dan VivoBook 15 mempunyai tanda harga permulaan RM3099, manakala harga ASUS VivoBook S15 ditetapkan pada harga RM3399.
Menurut ASUS Malaysia, siri komputer riba ini akan mula dijual di kedai atas talian di Shopee bermula 20 November pada 8pm.