Cari @ Amanz

Jenama Vertu gulung tikar selepas menanggung kerugian yang besar pada tahun 2017. Kemudian buat kali terakhir pada tahun 2018, Vertu Aster P dilancarkan dengan sistem operasi Android sebelum mereka kembali senyap. Hari ni Xor Titanium telah dilancarkan bagi mengisi kekosongan pasaran telefon mudah alih untuk bangsawan.

Xor yang disebut “aggressor” ialah syarikat baru yang diasaskan oleh Hutch Hutchison yang merupakan mantan ketua jurureka Vertu dengan beberapa lagi bekas kakitangan syarikat tersebut. Xor Titanium ialah sebuah telefon mudah alih biasa sahaja tetapi dengan tubuh yang diperbuat daripada logam titanium dan panel belakang diperbuat daripada kulit. Setiap peranti dibina dengan tangan sama seperti Vertu tanpa penglibatan robot. Sistem operasi yang digunakan pula adalah berasaskan Linux.

Ia juga sekadar menyokong rangkaian 2G/3G tanpa ciri pintar seperti melayari web. Oleh sebab itu dengan sekali caj, ia boleh beroperasi sehingga lima hari. Walaupun ia sekadar sebuah telefon selular asas, Titanium menyokong sistem pengecasan nirwayar.

Tumpuan utama diberikan kepada keselamatan dengan penyulitan hujung-ke-hujung AES256 ketika melakukan panggilan suara dan penghantaran SMS. Satu-satunya ciri pintar yang disertakan ialah sensor kualiti udara yang menunjukkan sama ianya sihat untuk dihirup ketika zaman pandemik.

Anda pasti merasakan ini ialah sebuah peranti gagal yang kuno untuk 2020. Namun begitu menurut Hutch Hutchison terdapat ramai bekas pengguna Vertu yang masih menginginkan sebuah telefon selular asas mewah di kalangan pengguna T1. Oleh itu Xor Titanium dijual pada harga £3,000 (~RM 16,442) sebuah bermula suku pertama 2021.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd