Cari @ Amanz

AOC ialah sebuah jenama paparan yang dikenali oleh penggemar dan pembina PC untuk pilihan paparan skrin mereka yang cukup banyak dari segi nilai dan ciri.

Terkini, AOC telah bekerjasama dengan Porsche Design untuk membangunkan sebuah paparan skrin gaming yang mempunyai sentuhan premium yang menjanjikan gabungan rekaan premium dan juga ciri-ciri yang diingini oleh mereka yang berkecimpung dalam arena gaming dan e-sukan.

Dinamakan Porsche Design AOC AGON PD27, paparan skrin bersaiz 27 inci ini menggunakan panel VA dengan resolusi QHD (2560×1440) yang mempunyai kadar segar semula 240Hz.

Selain dari itu, ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi paparan lain seperti AMD FreeSync Premium Pro dan juga VESA DisplayHDR400 untuk mereka yang inginkan pengalaman visual yang terbaik tidak kira mereka menggunakan paparan ini untuk gaming ataupun menonton video kegemaran mereka.

Rekaan paparan PD27 ini, khususnya tapaknya mendapat ilham daripada rekaan roll cage kereta lumba Porsche, manakala dari segi paparan pula, AOC menggunakan semua kepakaran mereka untuk memperkenalkan sebuah paparan yang boleh dihargai daripada semua lapisan pengguna.

Menurut AOC, paparan Porsche Design AOC AGON PD27 ini akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada pertengahan Novembe kelak, dan akan dijual pada harga £719.99 (RM3937). Ia masih tidak diketahui bilakah ia akan memasuki pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd