Cari @ Amanz

Wabak COVID-19 yang sedang melanda telah memporak-perandakan pelbagai sektor di seluruh dunia. Diantara yang paling teruk ialah sektor pendidikan, dimana para pelajar kini terpaksa menelaah pelajaran mereka secara masa penuh di rumah.

Isu ini juga membelenggu guru-guru yang terpaksa mempelajari cara-cara untuk mengajar anak murid mereka tanpa bantuan yang mencukupi.

Untuk membantu mereka dalam isu ini, Lenovo Malaysia, bersama-sama dengan Microsoft telah memperkenalkan program Lenovo EdVision, dimana tenaga pengajar tempatan boleh menerima akses kepada pelbagai bahan pembelajaran atas-talian yang berguna kepada tenaga pengajar dan juga pelajar.

Melalui program EdVision ini, Lenovo Malaysia bersama-sama dengan Microsoft akan mula menjalankan bengkel-bengkel digital untuk sekolah-sekolah dan guru-guru terpilih untuk mempercepatkan proses peningkatan kemahiran pengajaran supaya mereka boleh mulakan pengajaran berjarak tanpa membazir terlalu banyak masa.

Menurut Lenovo Malaysia, program EdVision ini akan tiba terlebih dahulu untuk guru-guru sekolah rendan dan sekolah menengah yang dijangka lebih memerlukannya untuk mengajar murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan penting dan sebagainya.

Dimana Lenovo membekalkan peranti dan bahan menelaah, Microsoft hadir dengan platform digital Microsoft 365 Education untuk memudahkan pertukaran kepada kelas digital yang nampaknya semakin menjadi norma baharu.

Lenovo juga berkata bahawa pensyarah-pensyarah di institusi pengajian tinggi perlu menunggu sedikit, dan program khusus untuk mereka akan diperkenalkan dalam masa beberapa bulan lagi.

Bagi guru-guru ataupun sekolah-sekolah yang berminat untuk menyertai program Lenovo EdVision ini, anda boleh mendaftar minat anda di laman sesawang ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd