Samsung Mempatenkan Peranti Dengan Paparan Menyeluruh Dan Boleh Luncur

Samsung Mempatenkan Peranti Dengan Paparan Menyeluruh Dan Boleh Luncur

Diterbitkan pada Nov 11, 2020 oleh .

Peranti dengan rekaan boleh luncur bukan lagi perkara baharu dalam industri peranti pintar. Bahkan, sebelum ini kita telah melihat rekaan sebegini pada sejumlah model seperti Honor Magic 2, Lenovo Z5 Pro GT dan banyak lagi. Samsung juga mempunyai perancangan yang sama, tetapi menggunakan pendekatan sedikit berbeza.

Memetik sumber, paten untuk peranti tersebut dikatakan telah tertiris – memperlihatkan ia mempunyai skrin pad bahagian depan dan belakang. Turut kelihatan, tiada sebarang port sambungan, butang fizikal dan ruang untuk peletakan kamera yang ditemui padanya. Difahamkan, bahagian hadapan peranti menggunakan paparan jenis melengkung. Sementara, bahagian belakang pula hadir dengan skrin jenis rata. Namun begitu, tiada maklumat lanjut mengenai jenis panel yang akan digunakan.

Seterusnya, mekanisme boleh luncur digunakan bagi menyembunyikan kamera utama. Kamera utama ini juga berkemungkinan juga digunakan sebagai kamera hadapan untuk mengambil swafoto – ekoran tiada ruang untuk peletakan kamera ditemui pada panel hadapannya. Kemudian, sistem piezoelektrik juga digunakan sebagai ganti kepada butang fizikal.

Selain, ia mungkin hadir dengan rangkaian 5G, menyokong e-SIM dan juga pengecasan nirwayar / berwayar – meskipun tiada sebarang port sambungan yang kelihatan. Namun begitu, ia masih lagi diperingkat paten. Adakah produk akhir bakal hadir dengan penawaran sebegini? Ia masih menjadi misteri.



Paling Popular