vivo WATCH – Jam Tangan Pintar Untuk Kecergasan Yang Bergaya

Diterbitkan pada Nov 24, 2020. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada era yang serba canggih hari ini, pelbagai syarikat pengeluar peranti berlumba-lumba dalam menghasilkan peranti pintar yang mampu memenuhi kehendak dan permintaan pengguna. Bukan sekadar peranti, malah mereka juga membangunkan pelbagai aksesori bagi melengkapkan ekosistem peranti pintar mereka. Salah satu aksesori yang sedang mendapat perhatian ramai adalah jam tangan pintar. vivo sebagai syarikat pengeluar peranti yang dikenali ramai juga telah melancarkan ekosistem mereka yang tersendiri dengan melancarkan aksesori daripada keluarga baru, iaitu vivo WATCH.

Jam tangan pintar pertama daripada vivo ini dilancarkan dengan dua variasi, iaitu 42mm untuk wanita dan 46mm untuk pengguna lelaki. Daripada pandangan pertama, jam tangan pintar ini dilihat seperti jam tangan biasa. Hal ini adalah kerana ia ini hadir dengan rekaan muka bulat dan menyertakan tali jam yang sememangnya sinonim dengan jam tangan biasa. Malah apabila dipakai, ia memberikan keselesaan kepada si pemakai kerana beratnya yang agak ringan, iaitu bermula 35.6 gram hingga 46.8 gram bergantung kepada variasi yang anda pilih.

Tetapi sekiranya kita lihat dengan lebih terperinci, muka jam ini sebenarnya hadir dengan skrin jenis AMOLED yang resolusi 390×390 di mana ia juga dibina dengan cip pemprosesan berkuasa rendah yang menyokong fungsi Always On Display (AOD). Melalui sokongan ini, ia membenarkan jam tangan pintar ini untuk memaparkan skrin walaupun anda tidak mengangkat pergelangan tangan anda.

Bezel jam tangan ini diperbuat daripada seramik, yang mana jika dibandingkan dengan binaan jam yang biasa, jam dengan binaan seramik mempunyai ketahanan yang lebih tinggi. Ini menjadikannya lebih tahan lasak dan sukar tercalar. Pada bahagian sisi kanannya pula, terdapat dua butang fizikal yang berfungsi untuk mengawal antaramuka utama dan satu butang lagi untuk mod bersukan. Apa yang menariknya mengenai jam tangan daripada vivo ini, ia menyokong sehingga 11 mod bersukan termasuklah aktiviti larian, berbasikal, mendaki, berenang dan sebagainya. Jam tangan pintar ini juga kalis air dan mempunyai ketahanan tekanan air sehingga 50 meter kedalaman dalam tempoh 10 minit dengan suhu persekitaran yang normal. Tetapi sekiranya anda inginkan aktiviti renang anda menjadi lebih selesa, vivo sarankan untuk menukar tali jam kepada jenis getah fluoro.

Bercakap mengenai jenis tali jam, penawaran tali pada sesuatu jam tangan juga memainkan peranan yang penting kepada si pemakai. Hal ini adalah kerana tali jam ini dapat menentukan keselesaan apabila ia dipakai. Bagi vivo WATCH, jam tangan ini ditawarkan dengan dua variasi tali jam yang memberi anda peluang untuk menukarnya mengikut kesesuaian majlis atau aktiviti. Dua variasi ini adalah tali jam dengan material kulit dan juga getah.

Bukan sekadar itu sahaja, jam tangan pintar ini juga mempunyai sensor oksigen darah, sensor ketinggian tekanan udara, sensor cahaya dan banyak lagi. Sensor-sensor ini sangat sesuai bagi anda yang gemar menjalankan aktiviti kecergasan kerana sensor untuk merekod kadar denyut jantung dan indeks oksigen darah sangat praktikal untuk digunakan bagi pengguna yang kerap bersenam dan ingin memantau kesihatan.

Sekiranya anda ingin menggunakannya untuk produktiviti harian, vivo WATCH ini juga membolehkan anda untuk menjadualkan peringatan, melihat tugas yang ingin dibuat, dan juga menerima notifikasi daripada telefon pintar anda. Kesemuanya boleh disambungkan daripada telefon pintar kepada vivo WATCH melalui sokongan Bluetooth 5.0 yang ada pada jam tangan ini.

Dari segi ketahanan baterinya pula, vivo WATCH 46mm hadir dengan kapasiti bateri sebesar 478mAh, manakala versi 42mm pula menyertakan kapasiti bateri sebesar 226mAh. Menurut vivo juga, versi 46mm mampu untuk bertahan sehingga 18 hari penggunaan. Malah, walaupun anda menggunakannya seperti jam biasa dan kurang membuat aktiviti kecergasan menggunakan jam ini, ia boleh meninggalkan peratus bateri sehingga 30% walaupun anda telah menggunanya dalam masa seminggu. Manakala bagi versi 42mm pula, ia mampu untuk bertahan sehingga 9 hari penggunaan.

Jadi, sekiranya sedang mencari jam tangan pintar yang sesuai untuk digunakan bagii aktiviti kecergasan dan dalam masa yang sama boleh bergaya, vivo WATCH ini adalah antara jam tangan pintar yang perlu anda masukkan dalam senarai jam tangan pilihan. Dengan memiliki vivo WATCH ini, anda bukan sahaja memiliki jam tangan pertama daripada vivo, malah juga boleh menggunakannya untuk memantau kesihatan melalui aktiviti kecergasan dan juga menjadi pendua kepada telefon pintar sekiranya anda tidak boleh memegangnya untuk melihat notifikasi. Buat masa ini, vivo masih belum mengumumkan penawaran vivo WATCH ini untuk Malaysia, namun mungkin kita akan dapat melihat pelancarannya jika jam tangan ini menerima sambutan untuk pasaran tempatan.

Penafian: Advertorial daripada vivo Malaysia

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami