Pandang Pertama Apple iPhone 12 Pro Max – Kepuasan Maksima?

Pandang Pertama Apple iPhone 12 Pro Max – Kepuasan Maksima?

Diterbitkan pada Nov 13, 2020 oleh .

Hari ini keempat-empat model iPhone 12 mula dijual di Malaysia selepas pra-tempahan dibuka minggu lalu. Dalam dunia masih bertarung dengan Covid-19, permintaan untuk telefon mercu yang dijual pada harga bangsawan masih belum menunjukkan akan berakhir dalam masa terdekat. Pada harga jualan bermula dari RM5299 sebuah, pasti ramai yang ingin mengetahui sama ada iPhone 12 Pro Max adalah berbaloi untuk dimiliki atau perlukah mereka berubah ke model terbaru jika mereka mempunyai iPhone 11?

Menerusi pandang pertama ini saya berharap dapat menjawab dua persoalan cepu emas di atas dan juga beberapa persoalan lain yang mungkin terbungkam di hati pembaca Amanz. Tanpa perlu melengahkan masa lagi, mari mulakan dahulu dengan spesifikasi lengkap iPhone 12 Pro Max.

Spesifikasi Dan Rekaan

Apple iPhone 12 Pro Max
Skrin6.7″ Super Retina XDR OLED
60Hz, Dolby Vision
PemprosesApple A14 Bionic (5nm)
Cip2 X 3.1 GHz Firestrom
4 X 1.8 GHz Icestorm
Cip GrafikApple GPU
RAM6GB
Muatan Dalaman512GB
Kamera Utama12+12+12 Megapixel f/1.6+f/2.2+f/2.4, Zum optikal 2.5X, Ultra sudut lebar, OIS, LiDAR
Kamera Swafoto12 Megapixel f/2.2
Bateri3687 mAh
Pengecasan berwayar 20W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniNano + eSIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas wajah 3D
Harga JualanDari RM 5299

Perkara pertama yang saya sedar sejurus selepas peranti dikeluarkan daripada kotak ialah saiz dan beratnya. Ia lebih tinggi dan lebar jika dibandingkan dengan 11 Pro Max tahun lalu. Tetapi menariknya ia kini lebih nipis. Akibatnya peranti terasa sedikit canggung untuk digunakan pada awalnya kerana imbangan berat pada tangan berubah dengan 11 Pro Max yang saya gunakan sejak setahun lalu. Lihat gambar di bawah untuk melihat sendiri perbezaan ketinggian 12 Pro Max (kiri) dan 11 Pro Max (kanan).

Perkara kedua yang saya sedari ialah sisi tubuh yang kini rata dan berkotak. Ia adalah rekaan iPad Pro yang kini dipindahkan ke sebuah peranti yang bersaiz lebih kecil. Dengan sisi rata, peranti boleh didirikan di atas meja dengan mudah. Telah lama telefon pintar tidak ditawarkan dengan rekaan rata ini. Oleh sebab itu 12 Pro Max mengingatkan saya kepada Nokia 3310 yang pernah dimiliki dua dekad lalu. Yang tidak mampu dilakukan hanyalah “menari” apabila nada dering beralun.

Keseluruhan bingkai 12 Pro Max diperbuat daripada besi tahan karat. Ia berkilat dan memerangkap kotoran dengan cukup mudah. Apabila diletakkan bersebelahan dengan iPhone 12 yang menggunakan bingkai aluminium, 12 Pro Max kelihatan jauh lebih premium. Pendek kata jika premium yang anda cari, siri 12 Pro adalah pilihan yang paling afdal untuk iPhone 12 tahun ini.

Dengan tubuh berkotak, ramai yang pasti menyangka ia tidak selesa di dalam tangan. Tetapi saya sendiri terkejut ia sebenarnya 180 darjah dari jangkaan awal. Butang-butang laras suara dan kuasa turut diratakan seperti iPhone 4. Pada hemat saya ini membuatkannya terasa lebih selesa apabila ditekan. Rekaan lebih cantik tetapi tidak mengorbankan ergonomik.

Sisi rata juga meningkatkan luas permukaan untuk dipegang sekaligus membuatkannya terasa kemas di dalam tangan. Tidak terasa seperti ini dengan mudah terlucut dari genggaman. Tema rata diteruskan kepada skrin yang juga lebih rata dari sebuah landasan lapangan terbang. Skrin tahun ini sebesar 6.7″ masih lagi dari keluarga OLED. Sedikit sahaja lebih besar berbanding 6.5″ pada model tahun lalu. Bezel kelihatan lebih nipis tetapi masih tidak senipis yang ditemui pada Note20 Ultra 5G. Takuk yang menempatkan pengimbas Face ID dan kamera swafoto kembali.

Selepas empat generasi, Apple masih belum merasakan mereka perlu mengubah rekaan yang kini dianggap telah ketinggalan zaman. Saya cuma kecewa kerana Huawei menerusi Mate 40 Pro membuktikan sistem imbasan 3D pada peranti tidak secara automatik memerlukan takuk yang besar. Apa yang boleh saya katakan paparan tahun ini masih kekal cantik dengan penghasilan warna yang cukup mantap. 12 Pro Max kalah kepada Note20 Pro pada ketebalan bezel tetapi mengatasinya pula pada rekaan skrin rata. Masalah video melimpah keluar ke sisi tidak akan berlaku pada peranti Apple ini.

Keputusan mengekalkan rekaan ketinggalan zaman ini juga boleh ditemui pada skrin yang masih sekadar menyokong kadar segar semula 60Hz. Ya 60Hz pada November 2020 sedangkan semakin banyak peranti kelas pertengahan Android telahpun berpindah ke 90Hz dan ke atas. Saya yakin ini dilakukan bagi mengurangkan penggunaan bateri tetapi keputusan yang diambil ini pastinya mengecewakan ramai peminat Apple.

Panel belakang juga mengekalkan bahan binaan kaca yang pusam. Sekiranya anda ada membaca ulasan saya tahun lalu untuk 11 Pro Max, saya ada berkata kemasan pusam ini perlu ditiru pengeluar lain. Ini telahpun berlaku dan pada 12 Pro Max ia masih lagi sama. Tiada masalah kotoran melekat seperti magnet atau peranti terasa licin.

Yang kurang menyenangkan ialah saiz dan ketinggian bonggol kamera pada tahun ini adalah tidak masuk akal. Saiznya saya anggarkan meningkat 30% dan ketinggian pula sekitar 40%. Peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja tanpa terjungkang-jungkit. Seperti saya katakan di awal ulasan ini, 12 Pro Max adalah lebih nipis berbanding 11 Pro Max. Sepatutnya Apple mengekalkan sahaja 0.7mm dari lalu supaya bonggol tri-kamera 12 Pro Max tidak menjadi setinggi ini.

Modul tri-kamera lebih besar kerana lensa yang juga lebih besar serta penambahan sistem LiDAR. Apple berkata dengan lensa lebih besar, prestasi fotografi dapat dipertingkatkan. Benara ataupun tidak hanya dapat dilihat selepas peranti menjalani proses ulasan penuh minggu ini. Kekecewaan pada tahun 2020 selain dari wabak Covid-19 ialah trend bonggol kamera yang semakin membisul sehingga Apple turut terjebak.

Sistem audio stereo masih lagi menerusi dua speaker pada bahagian bawah dan takuk skrin. Walaupun audio yang dihasilkan adalah lantang, konfigurasi ini mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan. Era speaker stereo yang terletak di hadapan HTC One M7 perlu dikembalikan. Jika rekaan klasik iPhone 4 boleh dikembalikan masakan rekaan audio terbaik One M7 perlu dibiarkan berkubur begitu sahaja.

Alang-alang ingin melakukan perubahan, saya menyeru Apple untuk melakukan langkah berani pada tahun hadapan dengan akhirnya menyokong USB-C. Walaupun beberapa ura mengatakan iPhone 12 akan meninggalkan Lightming, ini malangnya tidak berlaku. Penantian USB-C untuk semua bersambung untuk setahu lagi.

Yang ditinggalkan ialah pengecas dan fon EarPods dalam kotak. Kedua-dua aksesori yang dahulunya disertakan dengan setiap pembelian perlu diberi secara berasingan. Pengecas 20W kini ditawarkan pada harga RM99 sebuah. Ia perlu dibeli kerana kabel pengecas yang diberikan ialah dari jenis USB-C ke Lightning dan untuk memastikan anda boleh mengecas bateri 3687 mAh dengan pantas. Oh perlu juga diberitahu kapasiti bateri ini adalah 282 mAh lebih kecil berbanding 11 Pro Max. Pengurangan ketebalan peranti nampaknya turut mengorbankan kapasiti bateri.

Kesemua komponen hebat ini dimasukkan ke dalam tubuh peranti yang melepas piawaian IP68. iPhone 12 Pro Max tidak mengecewakan sebagai sebuah peranti mercu 2020 di atas kertas. Hampir kesemua kotak senarai impian yang diperlukan telah diketik dengan jayanya.

Penggunaan Dan Perisian

Keluar sahaja dari kotak, 12 Pro Max menggunakan sistem operasi iOS 14.1 yang kemudian perlu dikemaskini ke 14.2 pada kadar segera. Bagi mereka yang sebelum ini hanya menggunakan peranti iOS 13, perubahan yang dilakukan pada antaramuka adalah agak drastik.

iOS 14.2 hadir dengan sokongan widget buat pertama kali bagi memudahkan maklumat pantas seperti agenda kalendar dan cuaca dilihat. Apple juga akhirnya memberikan ciri seakan talam notifikasi dengan menumpulkan ikon aplikasi secara setempat. Sistem paparan lama dengan kesemua ikon di muka hadapan masih boleh digunakan jika anda lebih selesa dengan rekaan klasik.

Penambahbaikan pada privasi diberikan keutamaan kali ini. Kawalan lebih menyeluruh kepada aplikasi diberikan serta pilihan log masuk menggunakan akaun Apple. Lampu LED menyala pada bahagian hadapan untuk memberitahu kamera sedang aktif. Bagi insan yang mementingkan privasi, iOS 14.2 akan memudahkan anda tidur lebih nyenyak pada waktu malam kerana pelbagai pilihan yang diberikan.

Telah saya katakan beberapa perenggan di atas, 12 Pro Max masih retro dari segi teknologi skrin yang masih lagi sekadar 60Hz. Tetapi dalam penggunaan dunia sebenar 60Hz pada iOS 14.2 masih lagi lancar kerana dipadankan dengan pemproses Apple 14 Bionic yang berkuasa serta pengesanan sentuhan 120Hz. Adakah saya merindui skrin 120Hz pada Note20 Ultra semasa menggunakan 12 Pro Max? Jawapan ikhlas ialah hanya seketika kerana hakikatnya ialah dalam majoriti situasi 60Hz adalah lebih dari memadai.

Kesimpulan

Anda mahukan iPhone yang terbaik dari Apple untuk tahun 2020? Sekiranya jawapan anda ialah ya ya ya ya ya ya ya ya ya ya dan ya, iPhone 12 Pro Max ialah peranti yang perlu diletakkan di kedudukan teratas senarai peranti perlu beli anda. Tiada kompromi dari Apple pada bahan binaan, rekaan, perisian, kamera dan kemasan.

Sejak dikeluarkan dari kotak, saya sukar untuk memindahkan perhatian kepada peranti lain kerana 12 Pro Max ialah antara peranti tercantik yang diulas tahun ini. Ia boleh berentap dengan Note20 Ultra 5G versi Mystic Bronze untuk peranti tercantik 2020. Kedua-duanya sama seksi dan sedap mata memandang.

Tetapi penggunaan skrin 60Hz dan masih bertakuk besar perlu saya ketengahkan kerana Apple sering dilihat sebagai juara inovasi. Ketiadaan inovasi pada dua perkara ini ditambah baik kerana sekiranya ia dilakukan oleh pengeluar lain komentar negatif pastinya tiba bertali arus. Turut perlu disentuh ialah tiada lagi pengecas dan fon kepala untuk mengurangkan pencemaran. Saya terdiri di dalam kumpulan yang tidak merasakan ia adalah negatif kerana sudahpun mempunyai pengecas pantas MacBook yang boleh digunakan. Tetapi bagaimana pula dengan pengguna lain.

Untuk pendapat lebih terperinci saya mengenai iPhone 12 Pro Max, nantikan ulasan penuh yang akan diterbitkan minggu hadapan. Apa yang saya boleh katakan pada waktu ini ialah ia tidak mengecewakan.

Pro

  • Kemasan paling premium berkilat dengan sentuhan klasik iPhone 4.
  • Skrin rata yang tidak mengganggu tontonan video.
  • Apple 14 Bionic ialah cip paling berkuasa tahun ini. Kuasa maksima di hujung jari.
  • Pengecasan 20W yang lebih pantas.

Kontra

  • Skrin masih sekadar 60Hz.
  • Bonggol kamera yang kini semakin tinggi.
  • Tiada pengecas dan EarPods dengan pembelian.

TIPS & ULASAN