Dunia kini sedang menghala ke arah pengurangan penggunaan bahan api fosil, dimana syarikat-syarikat teknologi besar telah berjanji untuk mengurangkan tapak karbon, disamping menggunakan tenaga lestari untuk menguasakan pejabat-pejabat dan pusat-pusat data mereka.
United Kingdom, dalam komitmen mereka untuk mengurangkan kadar pencemaran di negara tersebut, sebelum ini dikatakan akan mengharamkan penjualan dan penggunaan kenderaan yang menggunakan bahan api fosil menjelang 2040 sebelum ini.
Terdapat ura-ura kini yang menyatakan bahawa kerajaan UK ingin mempercepatkan keputusan tersebut dan mengharamkan penjualan kenderaan bahan api fosil menjelang 2030 pula.
Lebih menarik lagi, pengharaman ini juga tertakluk kepada kenderaan hibrid yang menggunakan kabungan enjin elektrik dan bahan api fosil yang semakin popular sekarang. Kenderaan-kenderaan hibrid boleh dijual sehingga 2035 kelak sebelum penjualannya juga akan diharamkan.
Kerajaan UK dikatakan akan membelanjakan sebanyak £500 juta (~RM 2 bilion) untuk membangunkan pusat-pusat pengecasan EV di sekitar negara tersebut untuk memastikan peralihan kepada kenderaan elektrik adalah lebih mudah.