Tahun ini, banyak syarikat-syarikat farmaseukal yang sedang berlumba untuk mencipta vaksin kepada wabak COVID-19 yang sedang membelenggu dunia.
Walaupun begitu, terdapat pihak-pihak tidak berhati-perut yang cuba untuk menyusahkan usaha mereka dengan menggodam mesin-mesin pelayan syarikat-syarikat tersebut.
Menurut Microsoft, terdapat tujuh syarikat farmaseutikal daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Korea Selatan, Perancis dan India yang diserang oleh penggodam dari Korea Utara dan juga Rusia.
Penggodam-penggodam ini menggunakan pelbagai taktik seperti brute force, spearphishing dan sebagainya untuk mencuri kata laluan pengguna syarikat-syarikat tersebut untuk mendapatkan akses kedalam mesin pelayan untuk mencuri data ataupun menggunakan perisian tebusan untuk mendapatkan wang.
Kebanyakan serangan-serangan ini telah dihalang oleh mereka, tetapi untuk syarikat-syarikat yang terkesan akibat godaman ini, Microsoft telah menawarkan bantuan untuk menutup sebarang kerentanan pada sistem IT mereka, dan untuk memastikan sebarang butiran peribadi dan rahsia tidak terbongkar.