Cari @ Amanz

Sehingga hari ini, jika ada yang bertanya kepada kami apakah tablet terbaik untuk dimiliki – kami akan cadangkan iPad. Tidak kira iPad yang asas, iPad Air atau iPad Pro, iPad adalah raja segala tablet. Tiada tablet Android yang mampu bersaing dengan iPad, kerana sistem operasi yang Apple tawarkan iaitu iPadOS adalah hebat sekali.

Tidak dinafikan yang iPad ada juga keburukannya. Tetapi, secara keseluruhan iPad mampu melakukan pelbagai tugasan dengan lancar, bateri yang bertahan sangat lama, walaupun skrin LCD ia masih cantik dan terang, dan tidak lupa juga sokongan Apple Pencil yang jitu. Kami telah menguji iPad Air 2020 dengan menjadikannya sebagai tablet harian. Kami agak terkejut dengan kemampuan tablet ini. Jika anda ingin tahu sama ada adakah tablet ini berbaloi dimiliki dan adakah patut anda beli iPad ini – ini adalah artikel ulasan kami.


Spesifikasi Dan Rekaan

iPad Air 2020
Skrin10.9″ Liquid Retina, 1640 x 2360,
True Tone, 60Hz
PemprosesA14 Bionic (5nm)
Cip2 x 3.1 GHz Firestorm
4 x 1.8 GHz Icestorm
Cip GrafikApple GPU 4-Teras
RAM4 Gigabyte
Muatan Dalaman64/256 GB
Kamera Utama12 Megapixel, f/1.8
Kamera Depan7 Megapixel f/2.0
Bateri28.6Wh
Pengecasan berwayar 20W (USB-C/USB-PD)
SIM/TelefoniWiFi Atau Selular (4G)
NFCTiada
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanTouch ID pada butang kuasa
Harga JualanRM2599 – RM3799

iPad Air adalah tablet pertama dunia dengan cip 5nm. Ia juga merupakan produk pertama Apple dengan cip baharu, yang mana biasanya Apple lancarkan cip baharu pada iPhone terlebih dahulu. Dengan janaan cip ini, ia boleh dikatakan ada tablet berkuasa setakat ini. iPad Air turut menggunakan rekaan segi empat yang rata seakan iPad Pro. Ini menjadikan bezel pada skrin adalah sekata. Rekaan skrin ini juga pada hemat kami sudah baik, bezel adalah cukup nipis untuk sesebuah tablet tanpa masalah sentuhan tidak sengaja berlaku.

Walaupun bezel mirip iPad Pro, ia tidak memuatkan sebarang teknologi imbasan wajah. Sebaliknya hanya menyertakan kamera swafoto. Untuk sekuriti, Apple memperkenalkan Touch ID serba baharu yang terbina pada butang kuasa. Skrin juga adalah LCD dan 60Hz, jenis rata dengan sentuhan baik dan juga saiz yang cukup besar untuk tugasan ringkas.

Tablet ini turut mempunyai sistem pembesar suara stereo di atas dan di bawah, butang kuasa di atas, di sisi ada butang aras suara dan di bawah turut ada port USB-C. iPad Air 2020 akhirnya mengikut iPad Pro dan MacBook yang menggunakan sistem pengecasan USB-C.

Rekaan iPad Air ini adalah rekaan kegemaran. Ia selesa digunakan, mudah dikendalikan dan tidak kira arah mana dipegang ia tidak akan mengganggu. Cuma, bergantung kepada cita rasa masing-masing – kami lebih selesa dengan penggunaan dua tangan dengan cara melintang berbanding menegak.

Pengalaman Penggunaan

iPad Air pada asalnya adalah sebuah tablet dengan rekaan gila nipis. Tetapi lama kelamaan, rekaan yang nipis bukanlah yang apa Apple kejar. Sebaliknya adalah spesifikasi dalaman serta rekaan yang efisien untuk penggunaan yang berpanjangan. Kami akan mulakan dengan skrin terlebih dahulu. Liquid Retina adalah teknologi skrin yang kita lihat ada pada iPhone XR dan iPhone 11. Ia adalah teknologi LCD daripada Apple, yang boleh memberikan sokongan True Tone dan juga gamut warna yang lebar.

Walaupun LCD dan resolusi 1640 x 2360, ia masih boleh memainkan video YouTube 4K 60FPS tanpa sebarang masalah. Skrin juga cukup terang, selesa digunakan tidak kira di mana lokasi. Warna yang dihasilkan juga adalah tajam, cerah dan ceria. Apabila menonton video yang banyak fokus kepada subjek, skrin ini tiada masalah memaparkan butiran yang baik. Tablet ini juga tiada sebarang masalah sentuhan dan walaupun hanya 60Hz, ia cukup pantas dan lancar.

Untuk prestasi, iPad Air ini langsung tiada masalah untuk membuka ratusan aplikasi serentak. Walaupun hanya ada 4GB RAM, pengurusan memorinya adalah sangat bagus. Menjalankan tiga aplikasi serentak juga mampu beroperasi dengan sangat lancar tanpa sebarang masalah. Jika ini adalah tablet Android dengan 4GB RAM, pasti membuka dua aplikasi sahaja sudah lengah masa. Dengan kemampuan ini, iPad Air sangat sesuai dijadikan sebagai tablet produktiviti. Satu tetingkap buka muzik, tetingkap satu lagi adalah aplikasi emel dan tetingkap kecil boleh menggunakan kalkulator.

Bermain permua pada iPad Air juga akan memberikan pengalaman yang mengasyikkan. Prestasi permua adalah sangat laju. PUBG Mobile dengan tetapan paling tinggi mampu dimainkan dengan baik sekali. Walaupun di latar belakang ada banyak aplikasi terbuka, permua masih boleh dimainkan tanpa sebarang lengah masa. Asphalt 9 walaupun adalah permua kereta yang sudah lama, ia turut boleh paparkan kualiti yang cantik. Walaupun begitu, iPad Air ini pada hemat kami adalah tablet yang lebih sesuai dijadikan sebagai tablet kerja.

Tidak lupa juga yang pelayar web dalam iPad Air ini adalah jenis desktop. Tetapi, ia terhad kepada Safari sahaja. Apa yang anda lihat di MacBook, itulah Safari yang anda dapat di iPad. Ia amat berbeza dengan penggunaan pelayar web lain yang masih untuk peranti mudah alih dan tekan pilihan mengubah jadi mod desktop. Safari pada iPad adalah pelayar web peranti mudah alih dengan pengalaman desktop sebenar.

Memegang iPad Air ini di tangan juga adalah baik sekali. Ia tidak begitu berat dan tidak begitu licin. Tangan yang besar akan mudah mengendalikan tablet ini, tangan yang kecil mungkin sedikit sukar. Tetapi yang penting rekaan ini adalah rekaan yang baik sekali dan mudah digunakan.

Antaramuka

Ia menjalankan sistem operasi iPadOS 14, yang mana adalah berasaskan iOS 14. Sejak iPad OS dilancarkan, ia adalah sistem operasi terbaik tablet yang pernah hadir di dunia ini. Apple memperlihatkan rekaan antaramuka yang sedikit berbeza dengan iOS, seperti penggunaan widget yang kemas dan akan berada di ruangan khas di siri skrin. Saiz ikon yang boleh diubah dari kecil atau besar, serta animasi yang pantas.

Penggunaan Siri juga adalah baik dengan ikon yang dipaparkan di sisi bawah. Ia lebih kemas, lebih cantik dan lebih elegan. Penerimaan notifikasi iMessage dan FaceTime juga adalah lebih cantik dan kemas dengan muncul dalam bentuk pop-up. Penggunaan carian juga adalah lebih sempurna dan lebih pantas. Ini menjadikan tidak kira banyak aplikasi dipasang ataupun tidak, ia mudah untuk diakses.

Masalah iPadOS yang kami rasakan serius adalah pertama, tiada aplikasi pengurus fail yang baik. Aplikasi Files yang tersedia tidak cukup matang dan sukar digunakan. Pengurusan fail tetap akan dimenangi oleh Android. Kedua adalah aplikasi kalkulator hanya terhad kepada aplikasi pihak ketiga. Lain-lain, ia akan memberikan pengalaman yang cukup baik.

Tidak lupa dengan ekosistem Apple, jika anda ada AirPods Pro yang ditambat pada iPhone – dengan mudah sekali ia boleh digunakan pada iPad begitu sahaja. Kemudian, jika anda ada iPhone, notifikasi panggilan dan mesej boleh terus diterima dan dijawab dari iPad.

Skor Tanda Aras

Skor tanda aras untuk iPad Air 2020 adalah skor yang agak gila dan tinggi. Di lama web AnTuTu, skor tertinggi adalah 647,919 untuk Asus ROG Phone 3. Dengan cip A14 Bionic 5nm, dipadankan dengan RAM 4GB dan storan dalaman 256GB pada unit kami ini, ia menerima skor 653,748. Ini adalah skor yang agak tinggi.

Kami tidak bandingkan dengan skor iPad Pro kerana iPad Pro menggunakan cip pemproses binaan khas untuk penggunaan yang lebih profesional. iPad Air pula adalah tablet yang lebih murah dan spesfikasi yang lebih rendah dari iPad Pro.

Skor Geekbench 5 pula adalah 1,580 untuk satu teras dan 4,139 untuk multi-teras. Ini juga merupakan skor yang amat tinggi. Skor ini selari dengan pengalaman penggunaan harian kami yang cukup baik dan cukup pantas. Kemudian, walaupun tiada aplikasi Don’t Kill My App untuk iOS/iPadOS untuk menguji penggunaan memori di latar belakang – kami yakin ia mempunyai skor 95%-100% jika ada. Seperti yang kami katakan tadi, walaupun ada banyak aplikasi terbuka ia boleh dikendalikan dengan baik tanpa sebarang lengah masa.

Kamera Dan Audio

Untuk kamera, penggunaan iPad Air ini tidak sama seperti menggunakan telefon pintar. Kami tidak membawa tablet ini ke mana jua kami pergi. Hanya dari pejabat, pulang ke rumah atau lepak minum di kafe-kafe sahaja. Penggunaan kamera pada tablet ini lebih kepada panggilan video dan juga telesidang. Itu pun yang kami gunakan banyak pada kamera swafoto untuk FaceTime.

Kualiti imej iPad Air tidak memberangsangkan jika bertujuan untuk mengambil gambar. Ia begitu asas. Tetapi untuk panggilan video, ia boleh memaparkan kualiti HD yang cukup jel;as, tidak begitu banyak hingar dan selesa digunakan.

Untuk audio, walaupun ia mempunyai empat kekisi pembesar suara – tablet ini hanya mempunyai pembesar suara stereo. Tidak sama seperti iPad Pro yang ada empat pembesar suara. Walaupun begitu, kualiti audionya adalah memuaskan, cukup kuat dan menarik. Sekadar untuk menikmati filem atau drama secara bersendirian atau dengan 2-3 ahli keluarga – ia sudah memadai.

Ia cukup enak, ia cukup jelas dan akan memberikan pengalaman yang baik. Untuk mikrofon, ketika melakukan FaceTime – kualiti audio juga baik sekali. Mikrofon pada iPad Air ini mampu menangkap suara dengan baik, terang dan kuat. Ia tidak pecah dan hampir tiada hingar.

Bateri

Kekuatan iPad Air ini juga adalah pada bateri. Jika anda inginkan tablet yang berkuasa, bateri tahan lama dan tidak mampu membeli Pro – ini adalah tablet pilihan anda. Bateri iPad Air ini tidak didedahkan oleh Apple. Ia hanya disenaraikan sebagai 28.6Wh sahaja.

Namun dalam penggunaan kami untuk menyunting video asas, menonton Netflix dan YouTube secara berterusan, bermain permua, melayari web, menulis artikel dan FaceTime atau Zoom dalam satu pengecasan – ia boleh bertahan selama dua hari dengan masa skrin aktif sekitar 9-10 jam. SOT pada peranti-peranti iOS perlu dikira secara manual. Paling tinggi kami capai adalah menghampiri 11 jam.

Bateri yang paling teruk kami gunakan adalah 5 jam SOT, tetapi itu adalah dalam tempoh tiga hari penggunaan. Pada hemat kami, 3 hari masih ada bateri itu sangat baik. Sistem pengecasan pantas yang digunakan adalah 20W, iaitu 2W lebih pantas dari iPad Pro. Jujur kami katakan, seakan tiada beza dan langsung tidak pantas.

Masa untuk iPad ini dicas sehingga penuh adalah sekitar 2 jam. Mengikut situasi iPad itu sendiri seperti suhu dan aplikasi yang berjalan di latar, ia boleh mengambil masa mencapai lebih 2 jam. Tetapi syukur ia bertahan 2-3 hari, jadi pengecasan pantas yang perlahan ini boleh diterima dan dimaafkan.

Perlu diingatkan juga, unit yang kami gunakan ini adalah versi WiFi. Jadi ketahanan bateri adalah lebih lama berbanding versi selular. Tetapi dalam pengalaman menggunakan iPad air versi terdahulu dengan selular, iPad Air 2020 versi selular mungkin akan mempunyai ketahanan bateri yang baik juga.

Pesaing

iPad Air 2020Samsung Galaxy Tab S7+Huawei MatePad Pro 5G
10.9″ Liquid Retina, 1640 x 2360, True Tone, 60Hz (~ 264 ppi)12.4″ Super AMOLED, 11752 x 2800, HDR10+, 120Hz (~ 266 ppi)10.8″ IPS LCD, 2560 x 1600, 60Hz (~280 ppi)
Apple A14 Bionic
2×3.1 GHz Firestorm
4×1.8 GHz Icestorm
Snapdragon 865+
1×3.09 GHz Kryo 585 & 3×2.42 GHz Kryo 585 & 4×1.8 GHz Kryo 585
Kirin 990
2×2.86 GHz Cortex-A76 &
2×2.36 GHz Cortex-A76 &
4×1.95 GHz Cortex-A55
Apple GPUAdreno 650Mali-G76 MP16
4GB8GB8GB
64GB/256 GB256GB + MicroSD 1TB256GB + NM Card 256GB
Kamera Utama
12 Megapixel, f/1.8
Kamera Utama
13+5 Megapixel (f/2.0+f/2.2)
Kamera Utama
13 Megapixel (f/1.8)
Kamera Hadapan
7.0 Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
8.0 Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
8.0 Megapixel f/2.0
IP68IP68IP68
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby Atmos
28.6Wh
(Berwayar 20W)
10090mAh
(Berwayar 45W)
7250mAh (Berwayar 40W, Nirwayar 27W, Nirwayar berbalik 7.5W)
Harga dari RM2,599RM3,799RM4,599RM2,399

Kesimpulan

Seperti yang dikatakan sebelum ini, iPad akan kekal menjadi tablet terbaik dan tablet yang akan kami cadangkan untuk tujuan penggunaan yang lebih baik. Jika anda mencari yang spesifik seperti khusus untuk kerja di pejabat, Microsoft Surface adalah pilihan baik, sekadar multimedia dan hiburan adalah Samsung dan untuk suntingan, kerja puas, bateri, sokongan stilus baik – iPad Air 2020 adalah yang terbaik.

iPad Air mempunyai rekaan yang selesa, cip yang berkuasa yang menjamin prestasi tinggi, bateri tahan lama, kamera cukup cantik untuk FaceTime serta sokongan pelayar web versi web yang bagus. Kekurangan di sini adalah, papan kekunci dan stilus perlu diberi secara berasingan. iPad begitu sahaja akan memerlukan penggunaan skrin sesentuh penuh. Untuk menjadikan keseluruhan pengalaman penggunaan ini lebih baik, Magic Keyboard dan Apple Pencil 2 wajib disertakan sekali.

Kekurangan iPad Air ini dilihat sama dengan iPhone, iaitu masalah pengurus fail yang tidak cukup bijak dan leceh digunakan. Lain-lain anda akan pasti puas dan gembira.


Pro

  • Skrin yang cantik, luas, cukup terang dan lancar.
  • Prestasi yang gila hebat.
  • Pembesar suara stereo yang enak didengari.
  • Rekaan segi empat yang unik dan kelihatan Pro.
  • Bateri yang tahan lama.
  • USB-C, Power Delivery

Kontra

  • Tiada pengurus fail yang baik.
  • Papan kekunci dan stilus dijual berasingan.
  • Masih dengan 60Hz.
  • Kelajuan pengecasan hanya 20W.
  • Pengimbas cap jari fizikal agak kuno.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd