Cari @ Amanz

Dell ialah jenama pembuat komputer dan komputer riba terkemuka dari Amerika Syarikat yang telahpun berada di rantau ini untuk sekian lamanya.

Peranti-perantinya boleh dibeli di kedai-kedai komputer di seluruh negara, malah, Dell juga mempunyai kedai-kedai fizikalnya sendiri yang menjual komputer-komputernya.

Semua ini nampaknya bakal berakhir kerana ia telah dilaporkan oleh Lowyat.Net bahawa Dell telahpun mula menghentikan jualan fizikal peranti-peranti mereka di Malaysia dan Singapura.

Lowyat.Net melaporkan bahawa Dell telah mengeluarkan sebuah kenyataan kepada pembekal-pembekal komputer dan komputer riba tempatan yang mengatakan bahawa mereka tidak lagi akan menjual produk-produk mereka melalui kedai-kedai fizikal tempatan.

Walaupun begitu, Dell Malaysia mengatakan bahawa tempahan-tempahan yang telahpun dibuat sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan masih akan diterima.

Kedai-kedai komputer tempatan masih lagi dilihat menjual komputer-komputer keluaran Dell buat masa ini, tetapi kami menjangkakan bahawa stoknya adalah terhad, dan sebarang pembelian di masa hadapan akan perlu dilakukan melalui laman web Dell Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd