Ahmad Izham Omar telah dilantik sebagai pengarah eksekutif kreatif dan kandungan untuk Disney+ untuk pasaran Asia Tenggara. Pelantikan beliau ialah sebuah lagi petanda paling jelas perkhidmatan penstriman video ini akan dilancarkan di rantau ini dan paling penting sekali di Malaysia.
Menerusi pelantikan ini, beliau akan melapor terus kepada Amit Malhotra yang merupakan ketua serantau The Walt Disney Company Asia Pacific. Sebelum menyertai Disney+, Ahmad Izham Omar mengukir nama dalam industri muzik menerusi Positive Tone. Di bawah pimpinan beliau kumpulan seperti OAG, Too Phat dan Innuendo menjadi pelopor kepada industri muzik indie negara.
Selepas itu beliau menjadi ketua pegawai eksekutif Media Prima dan kemudiannya mengetuai Primeworks Studios sebelum meletak jawatan Oktober lalu.