YouTube-dl ialah sebuah aplikasi desktop yang membolehkan pengguna memuat-turun video dari YouTube dengan cepat dan mudah. Pada bulan lalu, GitHub telah menurunkan perisian tersebut kerana menerima arahan DMCA daripada syarikat Recording Industry Association of America (RIAA).
Terkini, GitHub telah menaikkan semula projek tersebut, dan mengeluarkan sebuah kenyataan panjang mengenai mengapa mereka melakukannya.
Mereka mengatakan bahawa projek YouTube-dl terpaksa diturunkan seketika kerana arahan DMCA tersebut perlu dipatuhi terlebih dahulu. Akan tetapi, GitHub telah menupah beberapa peguam dan juga jurutera IT untuk menyelidik undang-undang yang digunakan RIAA untuk menutup aplikasi tersebut.
Siasatan awal mereka mendapati bahawa YouTube-dl tidak melanggar undang-undang penggunaan media, dan ia tidak menyah-sulit video yang menggunakan codec WideVine yang digunakan oleh perkhidmatan penstriman seperti Netflix, seperti yang didakwa RIAA.
GitHub berkata mereka akan terus meneliti undang-undang yang digunakan untuk menutup YouTube-dl, dan jika ia betul-betul didapati bahawa aplikasi tersebut melanggar akta undang-undang seksyen 1201 dibawah DMCA, pemilik aplikasi tersebut akan diberitahu apa yang perlu dilakukan untuk mengelaknya.
Dalam pada itu, GitHub juga menubuhkan dana bantuan sebanyak $1 juta untuk membantu pembangun-pembangun aplikasi yang terkesan akibat akta DMCA tersebut.