Hari ini kita disajikan dengan kontroversi yang melibatkan sebuah aplikasi informasi waktu solat terkenal iaitu Muslim Pro – yang mana sebanyak 98 juta data pengguna telah dibeli oleh pihak tentera A.S untuk tujuan “menentang keganasan”. Susulan itu, orang ramai nampaknya seakan tidak senang duduk dengan perkara ini sehingga menyebabkan ada yang mengalami gangguan ketidakstabilan emosi atau kerisauan.
Pihak Muslim Pro akan hanya mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu ini esok. Tetapi sekiranya anda hilang kepercayaan dan sedang mencari pengganti kepada Muslim Pro, berikut ialah senarai 10 alternatif aplikasi informasi waktu solat yang mungkin boleh anda cuba hari ini.
1. iSolat
iSolat merupakan antara salah satu aplikasi informasi waktu solat yang boleh anda cuba. Selain memaparkan waktu solat seharian bagi seluruh Malaysia, ia juga akan mengingatkan anda apabila tiba masuk waktu solat – dalam bentuk audio azan, takbir atau nada peringatan. Selain itu, terdapat juga tetapan pilihan lain termasuk paparan tarikh penting dalam kalendar Islam, petunjuk arah kiblat dan lokasi untuk masjid dan surau terdekat.
Antaramuka juga dilihat cukup mesra pengguna dengan ciri navigasi yang mudah dipelajari. Kombinasi antara sejumlah warna menonjol yang berlatar belakang persekitaran masjid menjadikan antaramuka ini kelihatan lebih menarik untuk digunakan. Lebih menariknya lagi, aplikasi ini adalah percuma dan tiada masalah iklan. Namun begitu, ia hanya terhad untuk peranti jenis Android sahaja.
Pro
- Antaramuka mudah dipelajari.
- Percuma dan langsung tiada iklan.
- Pelbagai ciri tambahan seperti tarikh penting Islam, lokasi masjid dan kompas.
Kontra
- Terhad untuk peranti jenis Android sahaja.
- Muat turun Google Play : iSolat
2. Huda – Prayer Times, Azan, Qiblat & Duas
Seterusnya, aplikasi Huda. Aplikasi ini juga mudah digunakan, selain memiliki antaramuka yang mudah dan mesra pengguna. Melaluinya, anda boleh menyemak waktu solat dan menetapkan peringatan bunyi azan yang tersesuai untuk maklumat tibanya masuk waktu. Melaluinya juga, ia akan memaparkan kiraan jam untuk solat seterusnya. Kemudian, pemilihan lokasi juga boleh dibuat secara automatik atau manual bergantung pada keselesaan sendiri.
Antara fungsi lain lagi – termasuklah carian untuk arah kiblat, lokasi masjid terdekat, koleksi himpunan doa harian dan banyak lagi. Namun begitu, aplikasi ini dilihat hadir dengan sejumlah iklan yang sedikit mengganggu. Untuk mengelakkan perkara ini, anda boleh menaik tarafnya ke versi Pro degan membayar RM8.49.
Pro
- Antaramuka mudah menarik.
- Percuma & tersedia untuk peranti Android serta iOS.
- Kepelbagaian guna untuk memudahkan pengguna.
Kontra
- Pengguna melaporkan masalah lokasi dan azan yang terlewat.
- Muat turun Google Play : Huda – Prayer Times, Azan, Qiblat & Duas
- Muat turun App Store : Huda – Prayer Times, Azan, Qiblat & Duas
3. Raudhah – Solat, Qiblat & Prayer Times
Raudhah juga merupakan aplikasi yang membantu anda untuk mendapat akses mudah kepada sejumlah informasi termasuklah panduan solat & pemberitahuan azan, panduan haji & umrah, program keagamaan popular, penyenaraian masjid, arah kiblat, kalendar islam lengkap, himpunan doa & tazkirah dan lokasi restoran halal di sekeliling.
Antara video eksklusif yang boleh ditonton termasuklah Al-Kulliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah & banyak lagi. Padanya juga, terdapat fungsi tasbih digital yang membantu anda menghitung zikir harian.
Sejumlah lagi fungsi lain – termasuk tips berguna ketika bulan Ramadhan, 99 Nama Allah dan juga platform untuk Lazada. Dari segi penampilan, antaramuka kelihatan menonjol dengan animasi yang menarik. Seterusnya, ia juga mudah untuk digunakan tanpa sebarang masalah.
Pro
- Antaramuka menonjol dengan animasi menarik.
- Baris pada setiap ayat al-Quran juga mudah untuk dibaca.
- Percuma untuk peranti Android serta iOS.
- Lebih kepelbagaianguna untuk memudahkan urusan harian Muslim.
Kontra
- Terdapat iklan, tetapi tiada pilihan untuk membeli aplikasi bagi membuangnya terus.
- Muat turun Google Play : Raudhah – Solat, Qiblat & Prayer Times
- Muat turun App Store : Raudhah – Solat, Qiblat & Prayer Times
4. Solat Malaysia & Alarm (Atau dikenali Solat169)
Aplikasi ini juga dapat bantu anda mengakses waktu solat dengan mudah. Melaluinya, anda akan dapat lihat setiap waktu solat dengan mudah. Sebabnya, teks yang terpapar adalah besar dan boleh dikatakan muat untuk keseluruhan skrin. Selain pemberitahuan azan, anda juga boleh melakukan carian kiblat dan lokasi masjid terdekat.
Selain, turut terdapatnya jadual penuh untuk pemberitahuan waktu solat untuk satu tahun. Difahamkan, aplikasi ini juga boleh mengakses data lokasi anda secara automatik – meskipun ketika aplikasi digunakan ataupun tidak. Meskipun aplikasi ini boleh dikatakan mudah untuk dipelajari.
Namun,antaramukanya amat ringkas tetapi kemas. Tiada elemen klise aplikasi Muslim dengan kerawang dan grafik keterlaluan. Selain itu, terdapat juga iklan tetapi tidak terlalu keterlaluan. Ia berlaku ketika anda hendak keluar daripada aplikasi. Terdapat langganan RM1 sebulan, RM 5.50 untuk enam bulan dan RM10 setahun untuk membuang iklan.
Pro
- Percuma & mudah digunakan & dipelajari.
- Maklumat data solat untuk sepanjang tahun.
Kontra
- Terdapat iklan, tetapi tidak terlalu keterlaluan.
- Ciri tambahan sedikit terhad.
- Muat turun Google Play : Solat Malaysia & Alarm
5. iman & iman Pro : Solah, Azan & Qibla
Aplikasi ini merupakan pemberitahuan waktu solat yang cukup minimalis. Fungsi utama padanya boleh dikatakan seakan mirip kepada aplikasi Raudhah. Cuma bezanya, tiada sebarang fungsi untuk tontonan video program keagamaan yang tersedia.
Melaluinya, anda boleh menyemak pelbagai maklumat termasuk pemberitahuan azan dengan audio azan penuh, carian arah kiblat dan masjid terdekat, pemilihan masa & pemberitahuan imsa’, Qiyam dan Duha, kiraan tasbih digital dan penjejak lokasi restoran halal. Ia juga boleh digunakan pada jam tangan pintar AppleWatch, selain menyokong pembantu maya siri.
Bagi menjadikannya lebih menarik. Ia turut dilengkapi sejumlah jenis bacaan yang berguna untuk kehidupan seharian kita – termasuklah himpunan doa, mathurat, senarai nama malaikat dan banyak lagi. Rekaanya juga menarik dengan konsep yang minimalis dan warna menonjol. Ia juga mudah digunakan dan percuma. Jika inginkan kelebihan, anda boleh muat turun untuk versi pro yang dijual pada harga RM29.90. Tapi sayangnya, aplikasi ini terhad untuk pengguna iOS sahaja.
Pro :
- Percuma, mudah digunakan & dipelajari.
- Info lebih menyeluruh dengan kepelbagaian guna.
- Antaramuka menarik dengan tampilan warna menonjol.
Kontra :
- Tersedia hanya untuk peranti iOS.
- Akses lebih banyak pada aplikasi jenis pro & aplikasi adalah berbayar.
- Muat turun App Store : iman & iman Pro : Solah, Azan & Qibla
6. Athan : Prayer Times, Azan, Al Quran & Qibla Finder
Athan juga salah sebuah aplikasi komprehensif yang dilengkapi pelbagai ciri berguna. Antaranya seperti pemantauan solat, panduan untuk umrah & haji, kalendar islam lengkap, pilihan ayat suci al-Quran dan juga carian arah kiblat. Selain itu, terdapat juga himpunan doa, surah, ayat al-Quran dan juga mutiara kata yang berguna untuk kita semua. Pada masa sama, anda juga mempunyai akses mudah untuk carian arah kiblat dan lokasi masjid terdekat untuk memudahkan lagi proses menunaikan solat.
Antaramukanya kelihatan ringkas, tetapi penuh dengan info berguna. Lebih menariknya lagi, ruangan untuk himpunan ayat suci al-Quran ini turut dilengkapi tetapan tersesuai yang tertentu. Ia termasuklah pengubahsuaian pada reka huruf, warna tema dan penterjemahan dalam bentuk tulisan.
Cuma masalah yang tidak dapat dielak adalah iklan. Iklan ini akan muncul setiap kali aplikasi ini dibiarkan terpapar lama tanpa digunakan. Iklan pula seakan tidak selari dengan aplikas seperti membeli kereta dan ubat lutut. Untuk membuang iklan aplikasi boleh dibeli pada harga RM12.99.
Pro :
- Percuma, mudah digunakan & dipelajari.
- Maklumat lebih menyeluruh dan penuh dengan fungsi kepelbagaian guna seperti tarikh-tarikh penting sejarah Islam.
- Antaramuka menarik dengan pelbagai maklumat berguna.
Kontra :
- Gangguan iklan.
- Akses lebih banyak pada aplikasi yang dinaik-taraf & ianya adalah berbayar.
- Muat turun Google Play : Athan : Prayer Times, Azan, Al Quran & Qibla Finder
- Muat turun App Store : Athan : Prayer Times, Azan, Al Quran & Qibla Finder
7. Waktu Solat
Waktu solat juga merupakan aplikasi informasi solat yang cukup minimalis dan mesra pengguna. Sebabnya, antaramuka dilihat sangat mudah difahami dan dipelajari. Terdapat fungsi asas yang boleh anda akses termasuklah pemberitahuan azan dan juga carian untuk arah kiblat serta masjid berdekatan. Turut kelihatan, ia memaparkan kiraan jam untuk waktu solat yang seterusnya.
Selain tersedia dalam dwi pilihan bahasa, format waktu dan bunyi notifikasi tersesuai – sama ada terima notifikasi sahaja atau bunyi audio azan. Seterusnya, terdapat dua pilihan mod yang boleh dipilih oleh anda : 1) tetapan mod manual – di mana data adalah berdasarkan laman web JAKIM. 2) Mod automatik : data akan diambil kira berdasarkan Muslim World League dengan menggunakan koordinat GPS pengguna.
Pro :
- Percuma, mudah digunakan & dipelajari.
- Info berguna dengan fungsi pelbagai.
Kontra :
- Iklan sangat mengganggu.
- Muat turun Google Play : Waktu Solat
8. mySolat
mySolat juga antara aplikasi yang boleh anda cuba. Aplikasi ini dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Melaluinya, anda akan mendapat akses mudah untuk sebarang informasi berkaitan dengan ibadah solat. Antaranya seperti pemberitahuan waktu solat, fungsi zikir digital, kalendar islam dan juga himpunan zikir serta surah-surah pilihan berserta petunjuk tajwid.
Pro :
- Percuma, mudah digunakan & dipelajari.
- Maklumat berguna dengan fungsi pelbagai.
Kontra :
- Gangguan iklan.
- Antaramuka kurang menarik.
- Muat turun Google Play : mySolat
9. Waktu Solat Malaysia
Anda mungkin sedia tahu wujudnya aplikasi ini. Ia juga antara aplikasi popular yang sering digunakan oleh segenap pengguna. Aplikasinya juga dilihat cukup minimalis dengan rekaan yang cukup menarik. Selain pemberitahuan waktu solat, anda juga boleh menggunakannya untuk sejumlah fungsi lain. Termasuklah – panduan mengambil wuduk & solat, , himpunan doa , zikir dan niat solat dan juga carian untuk arah kiblat & masjid.
Turut kelihatan, ia turut menyokong waktu solat antarabangsa apabila anda melancong ke luar negara selain Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.Namun begitu, terdapat beberapa aduan mengatakan arah kiblat dan waktu solat yang ditunjukkan, adakalanya kurang tepat. Selain, masalah iklan yang boleh dikatakan agak mengganggu pengalaman penggunaan.
Namun begitu, ia mungkin dapat di atas menerusi kemas kini baru akan datang. Tiada pilihan untuk membeli aplikasi bagi membuang iklan yang menjengkelkan. Ada iklan muka penuh yang memerlukan pengguna menanti sehingga lima saat sebelum boleh ditutup.
Pro :
- Percuma, mudah digunakan & dipelajari.
- Pelbagai ciri dan maklumat yang berguna.
Kontra :
- GPS kadang kala tidak menunjukkan lokasi tepat untuk waktu solat.
- Beberapa ciri tidak berfungsi seperti lokasi masjid.
- Muat turun GooglePlay : Waktu Solat Malaysia
- Muat turun App Store : Waktu Solat Malaysia
10. Muslim GO
Akhir sekali, anda juga boleh mencuba aplikasi informasi solat Muslim GO. Boleh dikatakan, antaramukanya kelihatan lebih menarik dan moden Papan muka utamanya kelihatan mirip kepada Facebook. Di mana, ia memperlihatkan entri perkongsian keagamaan yang dimuat naik oleh pengguna lain.
Seterusnya, terdapat juga kebolehan untuk mengikuti profil pengguna lain – bertujuan kekal berhubung dengan setiap perkongsian yang dimuat naik oleh pemilik. Selain itu, anda turut boleh temui fungsi asas lain seperti pemantauan waktu solat, himpunan ayat suci al-Quran dan juga kebolehan untuk carian arah kiblat. Terdapat versi berbayar RM6.49 sebulan atau RM30.99 setahun untuk membuang iklan.
Pro :
- Percuma, mudah digunakan & dipelajari.
- Antaramuka yang lebih selari dengan rekaan moden.
Kontra :
- Pelbagai pepijat dilaporkan pengguna dan beberapa ciri yang diiklankan tidak berfungsi.
- Pada versi percuma, iklan yang dipaparkan kadang kala tidak sesuai dengan sebuah aplikasi keagamaan.
- Muat turun Muslim GO dari Google Play Store
- Muat turun: Muslim GO dari App Store
11. Google
Ini ialah saranan bonus yang paling mudah sebenarnya kerana tidak memerlukan anda memuat turun aplikasi ke dalam peranti. Hanya lakukan sahaja carian Google. Jika kebenaran lokasi diaktifkan untuk pelayar peranti, Google akan menyenaraikan terus waktu solat yang tepat.
Google menggunakan waktu solat yang diambil terus dari JAKIM. Oleh itu tiada keperluan untuk menetapkan jenis perkiraan waktu solat yang sering diminta oleh pelbagai aplikasi. Ini mungkin boleh menimbulkan sedikit kekeliruan jika pengguna tidak dapt jenis perkiraan mana paling sesuai di Malaysia.
Pro
- Ringkas tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan.
- Data terus dari JAKIM yang meyakinkan.
Kontra
- Perlu menaip “Waktu Solat” setiap kali melakukan carian Google.
Kesimpulan
Kontroversi yang melanda aplikasi Muslim Pro ketika ini, bukalah tanda pengakhiran tiada lagi alternatif lain yang boleh dijadikan sebagai rujukan. Seperti yang kami senaraikan di atas, mungkin ada di antaranya yang lebih memudahkan anda. Sekiranya ada antara aplikasi yang anda gunakan tidak tersenarai. Jangan segan silu untuk sama-sama berkongsi di ruangan komen di bawah.