Cari @ Amanz

Google Fit adalah aplikasi pemantauan kesihatan dari Google, seperti aplikasi Health dari Apple. Akan tetapi, aplikasi Google sedikit lebih terhad kerana ia lebih kepada aplikasi tambahan atau alternatif kepada aplikasi untuk penjejak kesihatan atau jam tangan pintar. Mi Band dan FitBit adalah antara peranti yang boleh menggunakan Google Fit atau juga yang paling kerap adalah jam-jam Wear OS.

Terkini, Google telah mengemaaskini skrin utama Google Fit dengan rekaan yang lebih baik. Skrin utama kini bertindak sebagai hab untuk semua peranti boleh pakai yang ditambat pada peranti (yang menyokong Google Fit). Hab ini akan memaparkan ringkasan metrik, Heart Point harian atau mingguan, langkah, data senaman terkini, data imbasan nadi, berat dan juga tekanan darah. Jika pengguna mempunyai peranti boleh pakai yang boleh menjejak tidur, data pemantauan tidur turut dipaparkan. Pengguna turut boleh menetapkan jadual tidur.

Pada Wear OS, Google membawakan Tiles baharu yang lebih fokus kepada data-data senaman atau sukan. Antaranya adalah ia kini akan memaparkan metrik penting seperti tetapan sasaran senaman, amaran kelajuan ketika sedang berlari dan pada aplikasi Wear OS akan ada peta memaparkan berapakah kelajuan dan jarak yang telah pengguna berlari.

Wear OS turut mempunyai fungsi senaman bernafas yang memberikan pengguna lebih kawalan dan Tiles cuaca yang lebih baik. Kemaskini ini akan diedarkan secara meluas dalam beberapa hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd