Isu penyulitan data pada komputer adalah sesuatu yang sangat ditekankan sejak isu Meltdown dan Spectre yang terus membelenggun cip-cip pemprosesan seperti Intel sehingga ke hari ini.
Microsoft baru-baru ini telah dilaporkan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Intel, AMD dan Qualcomm untuk membangunkan sebuah cip sekuriti yang berfungsi seakan-akan cip T2 Apple untuk memastikan maklumat didalam komputer lebih sukar untuk digodam.
Dinamakan Pluton, ia adalah sebuah cip sekuriti baru yang dikatakan akan menggantikan sistem Trusted Platform Module Microsoft sebelum ini, yang akan menyimpan data-data sulit secara berasingan daripada CPU.
Isu dengan penggunaan TPM ialah walaupun ia berasingan daripada CPU, data sulit masih lagi dihantar kepada cip tersebut, dan menggunakan kerentanan fizikal sedia ada, penggodam masih lagi boleh mencuri maklumat daripada komputer tersebut kerana secara teknikalnya, CPU tersebut masih lagi mempunyai kerentanan.
Dengan Pluton, walaupun cip ini hadir secara terus didalam CPU, secara teorinya ia tidak akan dapat mengakses data sulit tersebut kerana tiada sebarang penghantaran data yang dilakukan diantara kedua-dua cip ini.
Menurut Microsoft, Pluton dibangunkan berdasarkan cip sekuriti sama yang digunakan didalam konsol permainan Xbox mereka, yang menghalang pengguna daripada menggodam konsol ini dan menggerakkan permainan-permainan cetak rompak.
Microsoft juga sedang bekerjasama dengan Intel, AMD dan Qualcomm untuk membolehkan cip Pluton ini pada cip-cip pemprosesan masa dalam masa yang terdekat ini.