Oppo X 2021 telah pun didedahkan pada hari semalam. Ia adalah peranti pertama yang berfungsi yang menggunakan skrin boleh-gulung. Skrin ini adalah skrin OLED dan apa yang paling menarik adalah, ia adalah sistem bermotor dan bukannya sistem manual. Ramai menyatakan yang ini adalah konsep yang lebih menarik dari peranti dengan skrin boleh-lipat.
Seperti Samsung Galaxy Fold, ramai akan persoalkan apakah jenis perlindungan yang digunakan pada peranti ini. Dalam sesi temuramah bersama wakil Oppo tadi, kami diberitahu yang Oppo X 2021 menggunakan perlindungan plastik tebal yang tahan lasak. Walau bagaimanapun butiran mengenai perlindungan ini dan spesfikasi skrin yang penuh tidak dikongsi.
Perkara ini turut akan membuatkan orang ramai tertanya, adakah nasib Oppo X 2021 akan sama seperti Moto Razr atau Galaxy Fold yang pada awal menggunakan plastik sebagai perlindungan. Disebabkan ini hanya peranti konsep, jadi tidak penting pun perlindungan apa. Mungkin peranti komersil nanti akan menggunakan bahan yang lebih baik atau seperti Z Fold2, generasi kedua baru akan menggunakan kaca.
Jika kaca, bolehkah kaca ultra nipis seperti UTG digulung seperti peranti ini? Kita nantikan perkembangan lanjut mengenai peranti ini kelak.