Carian
Oppo X 2021 Akan Kekal Sebagai Konsep Sehingga Ia Menemui Piawaian Yang Diingini
November 18, 2020 Fahim Zahar

Sudah banyak ada peranti konsep yang diperlihatkan oleh banyak pengeluar peranti. Tetapi kebanyakannya tidak dijadikan sebagai komersil. Xiaomi, Oppo, dan banyak lagi masing-masing ada idea unik tersendiri seperti Mi MIX Alpha oleh Xiaomi dan Oppo X 2021 dari Oppo.

Antara sebab peranti konsep tidak dijadikan komersil adalah peranti tersebut mungkin terlalu awal untuk dunia dan orang ramai mungkin belum bersedia. Kedua mungkin kos pembuatan terlalu mahal dan tidak lupa juga sesebuah peranti itu mestilah mencapai piawaian yang tertentu. Begitu juga nasib dengan Oppo X 2021.

Peranti boleh-gulung ini menurut Oppo dalam temuramah khas tadi, ia hanya akan menjadi peranti konsep. Peranti dengan teknologi seperti ini menurut Oppo masih belum bersedia untuk dipasarkan secara komersil. Tetapi kita perlu ingat, peranti dengan kamera pop-naik, imbasan cap jari bawah skrin atau peranti dengan skrin boleh-lipat semuanya bermula dengan konsep, tetapi akhirnya menjadi komersil.

Jadi tidak terkejut jika Oppo akan menjual peranti seawal tahun 2021 atau mungkin sekitar 1-2 tahun lagi sekurang-kurangnya. Sama-sama kita nantikan.

Komen