Origin OS Diperlihatkan Secara Rasmi – Memfokuskan Penggunaan Widget Seakan iOS 14

Origin OS Diperlihatkan Secara Rasmi – Memfokuskan Penggunaan Widget Seakan iOS 14

Diterbitkan pada Nov 18, 2020 oleh .

Funtouch OS adalah sistem operasi dari Vivo. Ia dibina berasaskan Android dan mempunyai banyak ciri dan fungsi menarik. Pada awal peranti Vivo diumumkan, Funtouch OS adalah antara sistem operasi menarik yang digunakan. Ia menggunakan iOS sebagai inspirasi, banyak ikon 3D, animasi menarik dan banyak lagi.

Sudah sekian lama Vivo menggunakan Funtouch OS, kini mereka sedia berubah dengan memperlihatkan Origin OS. Origin OS adalah sistem operasi serba baharu dari Vivo. Ia dilihat memfokuskan penggunaan widget dan kurang menggunakan ikon aplikasi seperti peranti Android lain. Bukan itu sahaja, rekaan juga dilihat amat mirip dengan iOS. Origin OS membawakan kemampuan mengubah tema dari Origin OS ke Android asli. Tetapi, Android asli dalam Origin OS ini tidak benar-benar asli seperti yang ada pada Pixel atau Android One. Sebaliknya seakan Oxygen OS pada awal-awal.

Mod Android asli Origin OS ini tidak menggunakan tema berat dan peminat Android asli akan selesa sahaja menggunakannya. Sistem operasi ini turut mempunyai ruangan widget khas, selain turut boleh meletakkan widget di skrin utama peranti. Origin OS turut membawakan 26 kawalan navigasi berbeza, ikon yang boleh dikustomasi, sokongan tetingkap terapung, gambar latar yang lebih hidup.

Origin OS adalah sistem operasi Android dengan tema yang amat berat. Ia mempunyai pelancar yang penuh dengan animasi, ikon-ikon hidup, widget hidup dengan Nano Alerts serta susun widget dalam bentuk grid Klotski. Butiran lanjut mengenai Origin OS hanya akan dikongsi esok dalam acara Vivo Developer Conference. Untuk ketahui peranti apa yang akan menyokong Origin OS dan bila ia akan diedarkan, nantikan berita lanjut di Amanz.



Paling Popular