Tahukah anda apakah isu terbesar sejak saya mula menggunakan sepasang TWS? Pertama ialah kekerapan kehilangan fon telinga apabila ianya terjatuh dan kedua ia terlupa untuk membawanya pejabat kerana saiz pod simpanan yang agak kecil. Kesemua ini adalah isu yang tidak dapat saya ramal ketika berpindah ke TWS dua tahun lalu.
Ini membuatkan saya ingin kembali ke fon telinga berwayar tetapi peranti yang digunakan pula rata-ratanya tidak lagi dilengkapi bicu audio. Oleh itu jawapannya ialah aksesori audio niwayar yang masih mempunyai sambungan wayar seperti Huawei FreeLace Pro. Ia menyelesaikan beberapa isu yang saya senaraikan tadi dan mungkin adalah pilihan yang lebih bijak berbanding sepasang TWS.
Spesifikasi Dan Rekaan
Huawei FreeLace Pro | |
---|---|
Jenis | Fon telinga niwayar bertali |
Mikrofon | 4 |
Bateri | 150 mAh pada bahagian tali |
Pengecasan | USB-C |
Cip Audio | Kirin A1 |
CODEC | SBC, AAC |
Sokongan Aplikasi | Android, iOS, Huawei HMS |
Sokongan pembantu maya | Ya |
Pad sesentuh | Ya |
Kemampuan kalis air | IP55 |
Harga Jualan | RM 399 |
Dua fon telinga bersambung kepada seutas wayar yang melingkar di belakang tengkuk. Fon dari jenis dalam telinga ini mempunyai rekaan putik yang sedikit berbeza dari rekaan kebanyakan fon telinga lain di pasaran. Ia mempunyai putik silikon yang lebih runcing dengan tanduk tambahan yang perlu diselitkan pada bahagia cuping. Rekaan putik yang sedikit aneh ini digunakan kerana FreeLace Pro direka untuk pengguna aktif ketika bersukan. Tanduk tambahan yang disebut tadi memastikan putik fon telinga tidak akan mudah tertanggal ketika melakukan aktiviti sukan.
Tiga putik telinga berlainan saiz disertakan dengan setiap pembelian. Saya mendapati putik yang terpasang adalah cukup selesa untuk digunakan kebanyakan individu. Saiz putik yang betul adalah perlu untuk memastikan sistem ANC boleh berfungsi pada tahap paling optimum.
Yang menyambungkan kedua-dua putik ialah wayar yang yang diperbuat daripada bahan PVC. Seterusnya ini disambungkan pula pada kepada gelung leher (neck band) yang diperbuat daripada getah. Bahan ini mudah dibersihkan dari peluh selepas bersukan serta memastikan keselesaan semasa memakai.
Pada bahagian gelung leher yang sama, alat kawalan FreeLace Pro diletakkan bersama dengan bateri. Empat butang disertakan pada alat kawalan iaitu butang kuasa, menjeda/main, laras suara ke atas dan laras suara ke bawah. Kesemua butang diperbuat daripada bahan bergetah yang tidak menyakitkan jari. Rekaan butang-butang jeda dan laras suara juga berbeza antara satu sama lain untuk memudahkan pengguna mengenai butang apa yang ditekan tanpa perlu melihat.
Pada fon telinga kiri, sebuah pad sesentuh turut diberikan. Ia sekadar boleh digunakan untuk mengubah mod pembatalan hingar dari aktif, awareness dan mematikannya terus. Memang adalah sedikit aneh tiada pad sesentuh disertakan pada fon telinga kanan. Sedikit mengubati kekecewaan ini ialah kedua-dua fon telinga dilengkapi sistem magnetik. Apabila disambungkan, muzik akan secara automatik dijedakan dan kembali bermain apabila ditanggalkan. FreeLace Pro juga akan dihidupkan secara automatik apabila sambungan magnetik ditanggalkan.
Bersebelahan butang kuasa terdapat satu-satunya lampu LED yang menunjukkan tahap pengecasan bateri serta status tambatan. Hijau apabila penuh, kuning apabila sederhana dan merah apabila kehabisan bateri. Skema warna ini sama dengan produk TWS di pasaran termasuk keluarga FreeBuds laun yang ditawarkan kan Huawei di Malaysia.
Bercakap mengenai pengecasan, FreeLace Pro mempunyai sistem pengecasan yang agak aneh. Tali fon telinga kanan boleh ditanggalkan sepenuhnya untuk mendedahkan sambungan USB-C untuk pengecasan. Kesemua gelung leher dan fon telinga kiri disambungkan terus ke palam pengecas dengan kepala USB-C.
Bagi yang tidak memiliki palam pengecas USB-C, sambungkan sahaja FreeLace Pro kepada port pengecasan telefon yang menggunakan USB-C. Situasi ini mengingatkan kami kepada bagaimana Apple Pencil generasi pertama perlu dicas. Jika anda pengguna iPhone atau peranti yang masih menggunakan mikroUSB, malang bagi anda Huawei tidak memberikan pengecas atau penyesuai dengan setiap pembelian.
Panjang keseluruhan FreeLace Pro ialah 862.4 mm dan seberat 34 gram. Memang agak berat jika ingin dibandingkan dengan sepasang TWS tetapi sebenarnya tidak dirasai semasa dipakai. Gelung lehernya juga cukup panjang untuk menggunakannya dengan selesa. Di Malaysia FreeLace Pro hanya ditawarkan dalam warna Obsidian Black sahaja tanpa sebarang perancangan membawa masuk warna Spruce Green dan Dawn White.
Tambahan dilakukan menggunakan Bluetooth 5.1. FreeLace Pro adalah antara sebilangan kecil aksesori audio di pasaran tempatan yang menyokongnya. Akhir sekali FreeLace Pro melepasi piawaian IP55 yang menjadikannya kalis peluh tetapi tidak cukup untuk membolehkannya digunakan untuk berenang.
Penggunaan Dan Perisian
Proses tambatan adalah dengan menekan butang kuasa selama empat saat sehingga lampu LED putih berkelip-kelip tanpa henti. Jika anda menggunakan peranti Huawei, FreeBuds Pro akan dikesan sekelip mata dan ditambat dengan menekan butang OK yang terpapar pada skrin. Pada peranti Android lain dan iOS, pilih untuk menambat FreeLace Pro yang muncul pada senarai peranti bluetooth berdekatan.
Proses yang sama juga boleh dilakukan menerusi aplikasi Huawei AI Life yang boleh dimuat turun menerusi App Gallery dan Play Store. Malang sekali ketika melakukan ulasan, versi terkini Huawei AI Life di Play Store tidak mampu mengesan FreeBuds Pro. Kami terpaksa memuat turun APK dari Mate 40 Pro yang kami miliki ke Galaxy S20 Ultra untuk menggunakan aplikasi versi terkini. Ini adalah isu yang kami alami semasa mengulas FreeBuds Pro dan FreeBuds Studio.
Selepas lebih tiga bulan, Huawei masih belum mengemaskini aplikasi yang penting ini ke versi yang paling terkini. Pengguna tanpa akses App Gallery perlu memuat turun aplikasi secara side-loading dari laman pihak ketiga. Anda pengguna iOS? Masih tiada sokongan aplikasi rasmi hari ini sama seperti tiga purnama lalu.
Fon telinga masih boleh digunakan tanpa menggunakan aplikasi tetapi tidak kami sarankan. Aplikasi adalah penting untuk menukar tetapan butang kuasa (mengaktifkan mod pertukaran peranti pantas) dan pad sesentuh pada bahagian fon telinga kiri (mengaktifkan atau mematikan sahaja terus).
Selepas diubah, tetapan ini tersimpan pada fon telinga. Selepas itu apabila FreeBuds Pro ditambat ke peranti EMUI, Android, iOS, macOS dan Windows 10. Tiada sebarang masalah besar menggunakan fon telinga ini pada peranti pelbagai sistem operasi. Isu yang ada hanyalah sistem penukaran pantas antara dua peranti tidak berfungsi dengan baik pada PC dan Mac. Ini boleh dilakukan dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali. Pada Android dan iOS ini boleh dilakukan seperti yang diiklankan. Pada PC dan Mac ciri ini langsung tidak berfungsi.
Kualiti Audio
FreeLace Pro tidak akan menawarkan pengalaman audio yang terbaik bagi fon telinga nirwayar. Ia juga tidak akan memenangi sebarang anugerah untuk kualiti audio. Namun begitu adalah tidak adil untuk membandingkannya dengan fon telinga TWS kelas mercu yang dijual pada harga yang jauh lebih mahal.
Tetapi apabila dibandingkan dengan fon kepala di dalam kelas yang sama, saya merasakan pengalaman audio yang ditawarkan adalah lebih dari memuaskan. Kelantangan audio maksimum adalah cukup tinggi tidak seperti masalah yang kami hadapi dengan FreeBuds Pro dan FreeBus Studio. Bass cukup kuat walaupun sedikit berkecamuk pada tetapan audio tinggi. Treble juga gemeresik walaupun tidak secerah yang boleh kami nikmati pada AirPods Pro atapun Galaxy Buds+.
Komen negatif yang ingin kami berikan adalah pada sistem ANC yang seakan tiada fungsi. Tiada perbezaan ketara dapat didengari apabila mod ANC diaktifkan, dimatikan atau awareness digunakan. Pada hemat saya, menggunakan FreeLace Pro tanpa ANC adalah sudah cukup memadai untuk menapis bunyi luar dari menerobos telinga sekiranya putik telinga dipasang dengan baik. Hayat bateri yang lebih panjang dapat dinikmati tapi terasa sebarang kehilangan besar.
Bateri
Menurut Huawei, FreeLace Pro boleh beroperasi selama 20 jam jika ANC dimatikan dan sehingga 16 jam jika diaktifkan. Dalam ujian sejak lebih dua minggu, saya hanya mengecas seminggu sekali apabila tahap bateri berkurangan ke 10%. Masa pengecasan adalah sekitar sejam yang tidaklah terlalu lama.
Tetapi seperti yang saya ada katakan beberapa perenggan di atas tadi, proses mengecas lebih mudah jika anda mempunyai sebuah pengecas berkepala USB-C di rumah. Kerana tanpanya mengecas dengan menyambungkan pada telefon pintar bukan sahaja canggung tetapi menyukarkan proses menggunakan telefon pintar (pada waktu yang sama memakan kuasa bateri telefon).
Kesimpulan
Ini kali pertama saya mengulas sebuah fon telinga dari jenis gelung leher di Amanz. Oleh itu tidak ada peranti yang boleh dibandingkan dari segi kualiti. Dari segi penggunaan, saya kini menggunakan FreeLace Pro lebih kerap berbanding Samsung Galaxy Buds Live dan fon kepala Sony WHXM1000XM3 yang dimiliki. Tiada lagi isu tertinggal TWS di rumah atau kehilangan fon telinga kerana terjatuh.
Kualiti audio juga adalah amat memuaskan untuk fon telinga yang dijual pada harga RM399 sebuah. Sistem ANC yang disertakan bukanlah yang terbaik kami ulas tahun ini sehingga saya memilih untuk mematikan sahaja kerana tiada perbezaan yang ketara.
Hayat bateri juga tidak kurang hebat kerana mampu bertahan hampir seminggu dalam penggunaan biasa. Isu hanyalah proses mengecas yang sedikit aneh.
Saya menyarankan FreeLace Pro kepada mereka yang mempunyai gaya hidup aktif dan mempunyai isu dengan TWS yang kerap terjatuh ketika bersukan. Ia juga amat disarankan kepada mereka yang tidak mahu berhadapan dengan isu kehilangan fon telinga dan mahukan aksesori audio nirwayar yang mudah digunakan pada pelbagai jenis peranti.
Pro
- Kualiti bunyi yang memuaskan.
- Rekaan amat selesa tanpa sebarang isu.
- Sokongan peranti pelbagai sistem operasi.
- Kalis air IP55. Sesuai untuk aktiviti sukan.
Kontra
- Sistem pembatalan hingar ANC yang tidak memuaskan.
- Tiada sokongan menyeru pembantu maya.
- Proses mengecas yang sedikit aneh. Tiada pengecas disertakan.
- Tiada aplikasi untuk iOS.