Carian
NFC Dan USI Bekerjasama Untuk Sistem Pengecasan Nirwayar Stilus Pada Telefon Pintar
November 20, 2020 Fahim Zahar

Samsung Galaxy Note adalah antara telefon pintar dengan stilus yang dipandang oleh orang ramai. Versi terbaru pada Galaxy Note, iaitu bermula dengan Note9 sehingga yang terkini – S-Pen sudah mempunyai Bluetooth terbina dan sistem pengecasan di dalam peranti. Apple Pencil generasi kedua pula menggunakan sistem pengecasan bermagnet. Begitu juga dengan M-Pencil dari Huawei dan S-Pen pada Galaxy Tab S7.

Kelak, stilus boleh dicas terus pada telefon pintar melalui sistem pengecasan nirwayar. Forum NFC dan USI (Universal Stylus Initiative) telah bekerjasama untuk menghasilkan sistem pengecasan nirwayar khusus untuk stilus dicas pada peranti. Stilus ini akan dicas menggunakan sistem WLC, iaitu Wireless Charging Specification. Sistem WLC ini boleh digunakan pada mana-mana stilus yang mengikut piawaian USI.

Dengan penggunaan WLC, pengeluar peranti tidak perlu risau mengenai lingkaran pengecasan dan boleh menggunakan NFC sahaja. Tetapi WLC hanya terhad dengan 1W dan menggunakan 13.56 MHz untuk pemindahan kuasa. Buat masa ini, masih tiada peranti yang menggunakan sistem ini dan tiada senarai peranti baru mana akan hadir dengan ciri sebegini.

Dengan populariti stilus dilihat hadir pada Apple dan Samsung, dua syarikat ini mungkin boleh memanfaatkan teknologi ini.

Komen