Dengan lambakan penawaran jam tangan pintar di pasaran, membuatkan kita sukar untuk memilih yang mana satu bersesuaian dengan keperluan. Untuk langkah pertama, sebelum membeli jam tangan pintar adalah tentukan keperluan sebenar anda. Ada sesetengah orang memang jenis yang ikut trend semasa, tetapi tidak menggunakan fungsi secara menyeluruh. Bagaimana pula dengan anda?
Dalam artikel kali ini kami ada dua pilihan jam tangan terkini daripada Amazfit – iaitu Amazfit GTS 2 dan Amazfit GTR 2. Kedua-duanya merupakan kesinambungan daripada model sebelum ini, selain hadir dengan spesifikasi yang diberi nafas baru untuk pengalaman penggunaan lebih baik. Bagi yang berminat, kedua-duanya boleh didapati pada harga yang sama iaitu RM699 untuk seunit.
Boleh dikatakan keseluruhan spesifikasi adalah sama. Bezanya cuma pada saiz bateri dan rekaan pada muka jam. Justeru sudah pasti, keupayaannya untuk ketahanan bateri juga akan berbeza bukan? Namun, apa yang menjadi persoalan di sini : Adakah ia benar-benar sebuah jam tangan pintar seperti Apple Watch atau mana-mana jam tangan WearOS lain? Atau sekadar penjejak kesihatan yang dipadankan dengan rekaan jam tangan pintar? Bagi menjawab persoalan ini, kami akan kupas setiap satu daripadanya dalam artikel ulasan ini :
Spesifikasi Ringkas Peranti :
Peranti Boleh Pakai | ||
---|---|---|
Nama Model | Amazfit GTR 2 | Amazfit GTS 2 |
Paparan | 1.39″ AMOLED (454×454) | 1.65″ AMOLED (348×442) |
Pemproses | – | – |
RAM | – | – |
Muatan Dalaman | – | – |
Bateri | 471 mAh – Ketahanan sehingga 14 hari | 246mAh – Ketahanan sehingga 7 hari |
SIM / Telefoni | Tiada/Tiada | Tiada/Tiada |
Sensor | Air pressure sensor, Acceleration sensor, Gyroscope sensor, 3-axis, geomagnetic sensor, Ambient light sensor | Air pressure sensor, Acceleration sensor, Gyroscope sensor, Geomagnetic sensor, Ambient light sensor |
Berat | 24.7g | 24.7g |
Saiz | 46.4mm x 46.4mm x 10.7mm | 42.8mm x 35.6mm x 9.7mm |
Warna | Obsidian Black | Midnight Black, Urban Grey, Desert Gold |
Tahap Ketahanan | 5ATM | 5 ATM |
Harga Jualan | RM699 | RM699 |
Rekaan :
Nampak seperti sebuah jam tangan pintar, tetapi Amazfit GTS 2 dan Amazfit GTR 2 sebenarnya lebih kepada penjejak kesihatan tetapi dalam bentuk jam tangan. Boleh dikatakan, rekaan pada kedua-dua jam tangan ini nampak mewah dan elegan. Ini sekaligus pastinya tidak menghampakan khususnya buat mereka yang menggemari jam tangan daripada rangkaian Amazfit.
Jam tangan ini juga dipadankan dengan tali berasaskan bahan silikon lembut yang lebih praktikal dan selesa untuk kulit. Memakainya juga memberi keselesaan maksima tanpa mengakibatkan kulit menjadi kemerahan akibat merengsa atau iritasi. Menariknya lagi, kedua-dua jam tangan ini juga ringan sehinggakan langsung tidak terasa ketika digunapakai. Ini termasuklah, ketika melakukan aktiviti sukan mahupun tidur. Dengan gabungan ini, ia boleh menjadi daya penarik utama pada jam tangan ini.
Mesra diingatkan, tiada pilihan tali jam lain untuk pengguna. Kerana, setiap daripadanya hanya disertakan dengan satu tali jam di dalam setiap kotak pembelian. Meskipun begitu, Amazfit GTR 2 memberi sedikit kelebihan di mana turut hadir dengan pilihan tali berasaskan kulit berwarna hitam menerusi model Classic Edition. Jika anda merasakan, tali sedia ada mungkin kurang menarik minat. Anda boleh menggunakan sebarang tali jam standard dengan saiz yang sama tanpa masalah. Ia berikutan, kedua-duanya hadir dengan penggunaan cangkuk yang standard.
Seperti yang kami katakan di perenggan awal tadi, kedua-dua model hadir dengan rekaan muka jam yang berbeza. Perasan atau tidak, rekaan yang dibawakan oleh Amazfit GTS 2 mirip dengan generasi terdahulu. Muka jam dengan rekaan skrin berkotak. Selain, satu butang fizikal berbentuk bulat pada sisi kanan yang berfungsi sebagai navigasi untuk kembali ke muka jam dan kawalan pada fungsi terbina.
Tetapi jika diteliti dengan lebih dekat. Sekeliling butang fizikal ini dilihat sedikit tertutup, mungkin bertujuan bagi mengelakkannya tertekan secara tidak sengaja. Saiz skrin digunakan berukuran 1.69-inci AMOLED rekaan segi empat dengan resolusi 348 × 442 piksel. Perasan atau tidak, rekaannya di sini juga kelihatan seperti Oppo Watch. Sekadar makluman, saiz ini juga merupakan ukuran skrin yang sama digunakan pada Amazfit GTS generasi pertama. Seterusnya, bahagian belakang pula terdapatnya sensor denyutan nadi bersama plate magnetik untuk proses pengecasan peranti.
Bergerak ke Amazfit GTR 2 pula, rekaannya di sini mengingatkan kami kepada Huawei Watch GT2 Pro. Saiz paparan yang digunakan juga sama iaitu berukuran 1.39-inci dengan penggunaan panel jenis AMOLED. Selain itu, paparannya juga menyokong resolusi 454 x 454 piksel dan hadir dengan sokongan sesentuh. Tetapi, itu tidak bermakna ia adalah sama sepenuhnya daripada aspek binaan.
Amazfit GTR 2 hadir dalam dua variasi iaitu Sport Edition dan juga Classic Edition. Kedua-duanya hadir dengan binaan yang berbeza. Di mana, Sport Edition menggunakan binaan berasaskan aluminium aloi. Sementara, Classic Edition pula diperbuat daripada bahan keluli tahan karat.
Turut kelihatan terdapatnya dua butang fizikal berbentuk bulat terbina pada sisi – berfungsi sebagai navigasi untuk kembali ke muka jam dan kawalan fungsi terbina pada jam tangan pintar ini. Kemasan butang adalah baik sehingga tidak terasa murah.
Perlu kami akui di sini, paparan kedua-dua jam tangan ini terang dan jelas. Persembahan warna juga menarik dan ia boleh dibaca dalam semua keadaan. Seterusnya, antara muka jam juga mudah difahami. Kami yakin, anda tidak akan mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengannya.
Apa yang penting, kesemua elemen yang ada mudah dilihat dan dibaca tanpa masalah. Seterusnya, terdapat sejumlah pilihan muka jam menarik yang boleh anda pilih. Ia bagaimanapun sedikit terhad untuk disimpan pada jam. Sebaliknya, untuk akses lebih banyak perlu menerusi aplikasi. Jam tangan ini juga dilengkapi sokongan pembesar suara dan mikrofon secara terbina. Perlu kami akui, kualitinya sekadar baik-baik sahaja. Namun, ada masanya ia kurang memuaskan.
Sistem & Penggunaan :
Maklumat lanjut untuk pemproses, storan dan sistem operasi yang digunakan oleh kedua-dua jam tangan ini kekal menjadi tanda tanya. Bagaimanapun, perlu kami akui jam tangan ini mampu memberi pengalaman penggunaan yang memuaskan.
Sepanjang ulasan ini, proses tatalan pada muka jam terasa lancar sahaja tanpa masalah yang melampau. Pendek kata, cukup baik untuk kategori jam seperti ini. Tetapi rasanya bohonglah kalau kami katakan langsung tiada isu yang berlaku. Sela masa itu masih ada tetapi ia bergantung pada keadaan tertentu. Misalnya ketika kami ingin kembali ke muka utama jam.
Dari segi kawalan, tatalan skrin ke bawah membawa anda ke akses pantas untuk tetapan ringkas pada jam tangan ini. Antaranya seperti sambungan untuk bluetooth, perubahan untuk kecerahan dan bunyi, fungsi penjimatan bateri dan sebagainya. Kedua-dua skrin juga dilengkapi sistem skrin terpasang yang boleh diaktifkan sekitar 20 minit. Skrin masih memaparkan kecerahan yang sama, bagaimanapun pengaktifan fungsi ini akan memberi kesan kepada hayat bateri jam.
Tatalan skrin ke atas pula membolehkan anda melihat notifikasi untuk sejumlah aplikasi. Di sini terdapat sedikit komen yang kami ingin berikan. Di mana, kebolehan untuk notifikasi sekadar asas sama seperti yang kita dapat lihat pada Huawei Watch GT2 Pro.
Melaluinya, anda hanya boleh melihat mesej yang diterima sahaja tanpa kebolehan untuk membalas. Ia bagaimanapun, lebih ringkas dengan hanya menunjukkan sejumlah notifikasi terbaru sahaja. Justeru, anda perlu klik padanya untuk melihat atau membaca dengan lebih lanjut. Akan tetapi, lebih mudah sekiranya anda membuat semakan secara terus menerusi peranti pintar.
Seperkara yang ingin kami sentuh adalah mengenai sokongan getaran. Sejujurnya,kami mendapati sokongan getarannya lemah sehinggakan ada masanya kami tidak sedar akan notifikasi yang diterima. Tahap getaran ini bagaimanapun masih boleh diubah dan disesuaikan mengikut keselesaan pengguna sendiri menerusi tetapan di aplikasi Zepp.
Akhir sekali, tatalan ke kanan dan kiri pula membolehkan anda untuk mengakses sejumlah aplikasi terpasang seperti kawalan audio, penggera dan juga sejumlah fungsi kecergasan terbina. Ia bagaimanapun tiada gedung khas untuk memuat turun aplikasi seperti sejumlah jam tangan pintar lain.
Seterusnya, jam tangan ini juga hadir dengan pembantu digital tersendiri. Ia menarik kerana boleh dikatakan jarang kami temui jam tangan pintar asas dilengkapi fungsi sebegini. Melaluinya, anda boleh membuat semakan data atau membuka aplikasi dengan hanya menggunakan arahan suara sahaja. Prestasinya juga boleh dipuji. Sebabnya, ia mampu memberi tindak balas yang pantas. Anda hanya perlu angkat tangan, kemudian berikan arahan dan jam tangan ini akan membuka aplikasi-aplikasi tertentu.
Seterusnya, jam tangan ini juga dilengkapi sokongan pembesar suara dan mikrofon secara terbina. Melaluinya, ia membolehkan anda menjawab panggilan masuk secara terus daripada jam tangan. Menyentuh soal kualiti, ia sekadar baik-baik sahaja. Namun, ada masanya kualiti di tahap kurang memuaskan. Misalnya, kami ada menetapkan penggera sebelum tidur.
Aplikasi Sambungan :
Proses sambungan ke peranti pintar boleh dibuat menerusi penggunaan aplikasi Zepp – menggunakan sokongan fungsi bluetooth. Ia boleh digunakan pada peranti pintar yang menggunakan sistem operasi Android 5.0 dan iOS 10 ke atas. Bagaimana dengan peranti Huawei? Masih boleh digunakan juga, tetapi anda perlu memuat turunnya menerusi Petal Search berikutan ia masih belum tersedia di AppGallery.
Antaramuka aplikasi pada peranti Android dan iOS dilihat sama. Ia kelihatan minimalis dan baik, salain dipenuhi pelbagai info utama yang mudah diakses. Kesemua fungsi yang ada pada jam, boleh diakses secara terus daripada peranti pintar. Melaluinya, ia lebih memudahkan segala data pada jam untuk diselarikan pada peranti. Selain, anda juga boleh menyemak sejumlah info berkaitan kecergasan dan kesihatan.
Ia termasuklah bilangan aktif nadi, langkah serta jarak berjalan, kalori dibakar dan banyak lagi. Tidak ketinggalan, terdapat juga fungsi asas lain seperti tetapan untuk notifikasi aplikasi dan panggilan telefon, menjejak lokasi jam, penggera jam dan sebagainya. Meskipun fungsinya di sini sekadar asas sahaja, anda harus berpuas hati dengan aplikasi terpasang yang diberikan.
Bercakap mengenai tetapan untuk notifikasi aplikasi dan panggilan telefon. Di sini, perlu diakui ada sedikit kesukaran. Di mana, anda perlu menetapkan secara manual. Perlu juga diakui, sistem notifikasinya di sini adalah asas. Di mana, notifikasi yang diterima hanya dapat dilihat sahaja tanpa tanpa sebarang kebolehan untuk membalas. Panggilan pula sedikit lebih baik dengan nombor pemanggil yang tertera pada skrin.
Bateri :
Seperti yang kami katakan pada beberapa perenggan di atas, kedua-dua jam tangan ini hadir dengan kapasiti bateri yang berbeza. Amazfit GTS 2 dilengkapi bateri 246mAh. Sementara, bateri Amazfit GTR 2 pula adalah sebesar 471mAh. Maka tidak mengejutkan keupayaan ketahanan pada Amazfit GTS 2 adalah lebih rendah berbanding GTR 2.
Amazfit mengiklankan bateri pada GTS 2 mampu bertahan sekitar 7 hari. Ia bagaimanapun tidak betepatan dengannya kerana dalam dunia nyata GTS 2 hanya mampu bertahan sekitar 2 hari sahaja. Pada awalnya, kami menyangkakan ia akan dibaik pulih menerusi kemaskini atau mungkin disebabkan pengaktifan sejumlah fungsi secara kerap. Namun begitu, hasil yang diterima masih sama selepas kami mematikan sejumlah fungsi.
Berbeza pula dengan GTR 2 di mana ia boleh bertahan sekitar 4-5 hari dengan hampir kesemua fungsi terbina diaktifkan – termasuklah notifikasi, penggeran dan banyak lagi. Mungkin masih tidak seperti yang diiklankan, tetapi ia lebih baik berbanding GTS 2. Untuk pengecasan, prosesnya juga mudah sahaja – di mana menggunakan kabel yang disambung secara magnetik di belakang jam.
Kesimpulan :
Amazfit GTS 2 dan GTR 2, boleh dikatakan jam tangan “pintar” asas yang mewah dan elegan. Sungguhpun tidak begitu sempurna, ia sebenarnya cukup untuk mereka yang mengimpikan sebuah jam tangan mewah. Tetapi belum bersedia untuk menggunakan jam tangan pintar penuh. Dengan kombinasi menarik seperti rekaan yang nipis dan ringan, turut menjadikan ia memiliki aura yang tersendiri dan mampu memberi pengalaman menyeronokkan.
Pada hemat kami juga, mungkin Amazfit boleh belajar sesuatu di sini. Dengan membuat lebih penambahbaikan pada masa akan datang. Lebih -lebih lagi untuk fungsi pembantu digitalnya yang dilhat sedikit bermasalah dalam keadaan tertentu. Keduanya adalah masalah ketahanan bateri.
PRO
- Rekaan menarik, mewah dan elegan.
- Paparan skrin yang cantik – boleh dibaca dalam semua keadaan.
- Kemampuan kalis air.
- Sokongan aplikasi yang baik pada Android dan iOS.
KONTRA
- Tiada sokongan aplikasi tambahan.
- Ketahanan bateri kurang memuaskan.
- Fungsi getaran yang lemah.