Cari @ Amanz

MSI ialah sebuah jenama komputer dan komponen yang tidak asing lagi di pasaran tempatan, dan walaupun namanya sering didengari apabila bercakap mengenai komputer yang memfokuskan kepada gaming, mereka juga telah mengembangkan portfolio mereka untuk membuat komputer riba untuk golongan pencipta kandungan.

Oleh itu, mereka baru sahaja memperkenalkan siri komputer riba MSI Modern yang dikuasakan oleh pilihan CPU Intel generasi terbaru yang dinamakan Tiger Lake.

Siri komputer riba MSI Modern ini terdiri daripada dua model, termasuklah MSI Modern 14 dan juga MSI Modern 15, dimana model Modern 14 dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 14 inci, manakala Modern 15 mempunyai paparan skrin bersaiz 15.6 inci.

Kedua-dua model menggunakan panel IPS dan mempunyai resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 60Hz. Dari segi sokongan gamut warna, ia merangkumi sehinga 75 peratus ruang warna NTSC.

Dari segi spesifikasi, MSI Modern 14 hadir dengan CPU Intel Core i7-1165G7, memori DDR4 sebanyak 8GB sehingga 16GB, bersama-sama dengan storan SSD NVMe PCIe sebesar 512GB.

Dari segi pilihan GPU, MSI Modern 14 hadir dengan pilihan GPU Intel Iris Xe ataupun NVIDIA GeForce MX450, manakala MSI Modern 15 hanya mempunyai pilihan untuk GPU NVIDIA GeForce MX450 sahaja.

Untuk pilihan warna, MSI Modern 14 mempunyai warna Bluestone, manakala MSI Modern 15 hadir dengan warna Carbon Grey.

Komputer riba MSI Modern 14 dan Modern 15 ini boleh dibeli melalui kedai atas talian MyStore MSI ataupun kedai rasmi MSI Malaysia di Shopee pada tanda harga berikut:

  • MSI Modern 15 (8GB RAM, Intel Iris Xe) – RM3699
  • MSI Modern 15 (8GB RAM, NVIDIA MX450) – RM4399
  • MSI Modern 14 (16GB RAM,NVIDIA MX450) – RM4499
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd