Realme C15 secara rasminya diperkenalkan untuk pasaran tempatan, sebentar tadi. Pengenalan peranti pintar ini dilihat sekaligus menambah lagi bilangan penawaran model di bawah siri Realme C untuk pengguna di Malaysia.
Bagi yang berminat, Realme C15 ditawarkan pada harga RM599 (4GB+64GB), sementara RM699 (4GB+128GB) dengan dua pilihan warna iaitu Marine Blue dan Seagull Silver. Buat masa ini, hanya varian asas sahaja yang akan dijual bermula esok. Sementara, varian 4GB+128GB akan datang tidak lama lagi. Setiap pembelian awal yang dibuat, anda boleh memiliki Realme Watch pada harga RM99 (RM299) dan promosi terhad untuk hari pertama jualan sahaja!


Realme C15 hadir dengan skrin 6.5-inci LCD HD+ (1600 x 720 piksel) dengan rekaan paparan jenis bertakuk kecil. Seterusnya, ia dilengkapi cip pemproses Snapdragon 460, memori 4GB RAM (LPDDR4X) , storan dalaman sehingga 128GB dan bateri 6,000mAh dengan pengecasan pantas 18W. Konfigurasi kamera pula terdiri dengan kuad-kamera utama dengan tetapan lensa 13-Megapixel (utama) (f/2.2) + 8-Megapixel (Ultra-Lebar) (f/2.5) + 2-Megapixel (B&W) (f/2.4) + 2-Megapixel (Retro) (f/2.4) . Sementara, kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel.