Xiaomi kerap mempatenkan banyak inovasi peranti yang menarik. Tetapi sehingga hari ini, yang unik dan pelik masih tidak diperlihatkan kepada umum. Kali terakhir yang benar-benar unik Mi MIX Alpha senyap begitu sahaja, peranti boleh lipat mereka entah hilang ke mana dan peranti dengan kamera bawah skrin juga tiada sebarang kemaskini.
Paten terbaru Xiaomi yang ditemui oleh Lets Go Digital baru-baru ini memperlihatkan rekaan yang sangat mirip dengan Galaxy Fold generasi pertama. Dari skrin hadapan, penggunan tri-kamera dan engsel, ia kelihatan sangat sama. Tetapi sebaik sahaja ia dibuka, skrin yang luas tanpa sebarang takuk atau lubang kelihatan. Xiaomi memilih untuk menggunakan kamera pop-naik pada peranti ini. Ini akan memberikan pengalaman penggunaan skrin yang imersif.
Buat masa ini, peranti ini masih paten sahaja. Ia mungkin tidak akan dijadikan sebagai peranti sebenar. Tetapi, ada kemungkinan besar konsep yang lebih kurang akan digunakan. Peranti Mi MIX sudah lama tidak kedengaran, adakah ini Mi MIX generasi baru? Sama-sama kita nantikan.