Carian
Ulasan iPhone 12 Mini – Padat Dan Berkuasa
November 30, 2020 Amy Maizuraa

Boleh dikatakan, tahun ini Apple membuat kejutan untuk semua peminat setia mereka. Jenama ini telah memperkenalkan sehingga empat buah model berbeza ketika pelancaran rasmi untuk siri iPhone 12 tempoh hari. Ia termasuklah iPhone 12 Mini, iPhone 12, iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max. Boleh dikatakan, ini kali pertama Apple berbuat demikian dan ia boleh dianggap menarik kerana ia akan memberi banyak pilihan kepada pengguna.

Seterusnya, keempat-empat model dikemaskini dengan sejumlah penambahbaikan menarik, namun rekaan padanya dilihat seakan kembali ke era sebelum ini. Bagaimanapun, kalau anda perasan spesifikasi pada iPhone 12 Mini sama sahaja dengan iPhone 12. Cuma bezanya pada ukuran skrin dan juga kapasiti bateri. Jadi, adakah berbaloi untuk anda memiliki iPhone 12 Mini? Dan, siapakah yang mungkin sesuai membeli peranti ini? Penulis akan cuba menjawab persoalan itu dalam artikel ulasan penuh ini.

Spesifikasi Ringkas Peranti :

iPhone 12 Mini
Skrin5.4″ Super XDR Retina OLED,
1170 x 2532, 60Hz, HDR10
PemprosesApple A14 Bionic 5nm
Cip2 x 3.1 GHz Firestorm
4 x 1.8 GHz Icestorm
Cip GrafikGPU Tersendiri
RAM4 GB
Muatan Dalaman64/128/256 GB NVMe
Kamera Utama12 + 12 Megapixel
f/1.6 + f/2.4
Utama, Ultra Lebar
Kamera Swafoto12 Megapixel f/2.2
Bateri2,227 mAh
Pengecasan berwayar 20W (PD)
Pengecasan MagSafe 12W
Pengecasan Nirwayar 7.5W (Qi)
SIM/TelefoniNano + eSIM & 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanFace ID
Harga JualanBermula RM3,399

Paparan :

Seperti biasa, sebelum penulis teruskan dengan lebih jauh, adalah lebih baik penulis menyentuh bahagian fizikal peranti terlebih dahulu. Kalau sudah namanya Mini, maka saiznya juga pastilah kecil. Seperti yang dapat dilihat pada senarai spesifikasi ringkas, Apple menggunakan skrin berukuran 5.4-inci pada iPhone 12 Mini – yang mana dilihat sesuai untuk anda dengan tapak tangan kecil dan sering menggunakan peranti dengan sebelah tangan. Pendek kata, anda tidak perlu risau. Sebabnya, penulis boleh beri jaminan tidak ada masalah kekejangan jari akan berlaku.

Segalanya selesa sahaja untuk disentuh dari hujung ke hujung skrin.
Seterusnya, tidak ada perubahan besar yang dibuat oleh Apple. Paparannya masih seimbang, selain penggunaan takuk yang masih lagi besar pada bahagian dahi. Bagi segelintir pengguna, hal ini mungkin bukan satu masalah yang besar. Tetapi, masih terdapat segelintir pengguna yang kurang senang dengan takuk besar ini. Kemudian, skrin OLED juga masih dikekalkan dengan resolusi Super Retina XDR.

Lebih menariknya lagi, keterangan maksima sehingga 1200 nits juga dapat dinikmati. Ia turut menyokong format HDR Dolby Vision, HDR10 dan HLG. Apple juga memperkenalkan kaca seramik terbaru mereka yang dinamakan Ceramic Shield pada peranti ini. Menurut Apple, prestasi ketahanannya adalah empat kali lebih baik berbanding sebelum ini.
Skrinnya di sini sememangnya kecil. Tetapi, ini adalah skrin OLED yang cantik. Lihat sahaja di sini, kualiti skrin nampak tajam dan terang.

Olahan warna pada paparan ini cukup baik di mana kandungan visual yang dipaparkan pada peranti iPhone 12 ini nampak cantik sekali. Ini boleh dilihat melalui penggunaan paparan OLED. yang dikatakan sebelum ini, dimana warna-warna kelihatan lebih ranggi, manakala warna hitam kelihatan benar-benar gelap.

Meskipun Apple masih mengekalkan skrin dengan kadar segar semula 60FPS, jujur penulis katakan, prestasinya boleh dipuji. Skrin dilihat berfungsi dengan baik dan setiap gerakan jari dapat dikesan dengan tepat. Dalam erti kata mudah, segalanya rasa memuaskan dan pengalaman tatalan yang baik juga dapat dirasai.

Namun begitu, masih ada juga kekurangannya. Pengalaman tontonan video sememangnya terasa kurang memuaskan dengan skrin yang kecil begini. Ini mungkin disebabkan penulis sudah terbiasa dengan paparan peranti yang lebih besar. Kemudian, penggunaan secara terus di bawah cahaya matahari terik juga kurang baik. Hal ini kerana, paparan skrin akan terus menjadi malap dan sukar untuk dilihat.

Rekaan :

Gabungan rekaan yang dipersembahkan oleh Apple kali ini adalah sesuatu yang menarik dan dilihat cuba membawa peminat mereka untuk mengimbau nostalgia lalu. Dari sudut fizikal, Apple telah mengembalikan semula rekaan klasik yang sebelum ini kita pernah melihatnya pada iPhone 4, iPhone 5S dan juga iPhone SE generasi pertama. Binaan berkotak dengan skrin sejenis rata. Pada hemat penulis, rekaannya masih kekal menarik dan langsung tidak menghilangkan nilai premium pada peranti pintar ini. Apa yang positifnya lagi, rekaan sebegini juga boleh dikatakan bagus kerana masalah video melimpah ke sisi pastinya tidak akan berlaku di sini.

Seterusnya, perlu penulis akui saat pertama kali memegang peranti pintar ini, ia memberi kepuasan yang tersendiri, ia rasa cukup padat dan selesa ketika berada di dalam genggaman.

Penggunaan bahan berasaskan kaca untuk panel hadapan dan belakang, di samping kerangka aluminium berkilat pada sisi menjadikan ia nampak lebih premium. Namun begitu, anda sangat disarankan untuk menggunakan kerangka pelindung kerana panel belakang kaca cukup licin dan sangat mudah dikotori dengan cap jari.

Pada sisi kanan, adanya butang kuasa dengan saiz yang besar dan ia juga boleh digunakan untuk menyeru siri. Seterusnya, anda boleh temui butang laras suara, butang membisu dan juga talam SIM Nano pada sisi bertentangan.

Sambungan port Lightning pula terletak di bahagian bawah bersama pembesar suara dengan sistem audio stereo. Bagaimanapun, salah satu pembesar suara pada bahagian ini hanya sekadar hiasan sahaja. Sebaliknya, satu lagi pembesar suara diletakkan pada takuk skrin.

Bercakap lebih lanjut berkaitan pembesar suara. Di sini, penulis ingin berkongsi mengenai prestasi audio. Boleh dikatakan, ianya cukup baik. Bunyi yang dikeluarkan juga lantang dan jelas. Dengan kata mudah, ia boleh didengar dengan baik. Meskipun tetapan audio ditetapkan pada tahap tertinggi, kualiti yang terhasil masih baik dan tidak pecah mahupun bingit. Tetapi, audio terhasil sedikit tidak seimbang.

Prestasi :

Pemproses A14 Bionic enam teras digunakan di sini. Pemproses ini hadir dengan binaan berasaskan 5nm dengan peningkatan kuasa sebanyak 40% pada CPU dan 30% pada GPU. Memori yang dipadankan adalah 4GB RAM dengan pilihan storan sehingga 256GB. Seperti biasa, masih tiada sokongan kad microSD pada peranti ini. Tapi, boleh dikatakan ia bukan satu hal yang baru pada peranti pintar keluaran Apple.

Perkara yang penulis sedari ketika menggunakan iPhone 12 Mini ini adalah prestasinya memang lancar dan pantas. Terima kasih pada cip A14 Bionic yang menguasai keseluruhan peranti pintar ini, penulis akui tiada langsung masalah sela masa yang berlaku dan aplikasi juga dapat dilancarkan dengan baik. Kemudian, pengalaman tatalan dan proses pertukaran aplikasi juga dapat dilakukan dengan lancar tidak kira sama ada penulis menggunakannya untuk bermain permua, menatal media sosial atau menggunakan aplikasi kamera.

Sebelum ini, penulis ada mendengar rungutan daripada sejumlah pengguna yang mengatakan skrin iPhone 12 Mini bermasalah. Di mana skrin mengalami masalah sentuhan sehinggakan menyukarkan peranti untuk dinyahkunci. Namun begitu, penulis tidak pula berhadapan masalah tersebut sepanjang ulasan ini dilakukan (sebelum kemas kini baru dikeluarkan). Bagaimanapun, Apple kini telah menyelesaikan masalah ini menerusi kemas kini terbaru mereka.

Pengalaman bermain permua pada peranti pintar ini juga tiada masalah. Prestasi keseluruhannya baik sekali termasuk untuk paparan grafik dan juga tidak balas pada muka skrin. Boleh dikatakan, pengalaman bermain terasa lebih seronok. Penulis juga sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras pada peranti ini dan keputusannya adalah seperti yang anda dapat lihat di bawah ini :

Namun begitu, penulis sedari masih ada perkara yang kurang memuaskan di sini. Di mana, iPhone 12 Mini mempunyai masalah sukar untuk mengendali haba dengan baik. Bukan sahaja ketika bermain permua, bahkan ketika penulis menggunakan aplikasi kamera. Semakin banyak gambar diambil, penulis mendapati peranti ini menjadi semakin panas. Sehinggakan satu tahap, penulis perlu membiarkannya sebentar bagi mengurangkan isu panas yang berlaku.

Antaramuka :

iPhone 12 Mini dilengkapi iOS 14 terus daripada kotak. Penulis mendapati ia mempunyai paparan yang ringkas, kemas dan cantik. Baik dari segi ikon, mahupun susun aturnya. Anda juga boleh mengatur setiap satu daripadanya dengan kemas. Selain menyembunyikan keseluruhan papan muka utama sekiranya mahu. Penulis juga mendapati semua aplikasi mudah diakses dan dicari. Namun, andai kata masih terdapat masalah. Anda boleh menggunakan bar carian untuk lebih mudah.

Menerusi iOS 14 juga, terdapatnya sejumlah fungsi menarik yang boleh ditemui. Antaranya, sokongan widget pada skrin utama. Melaluinya, ia akan memudahkan lagi pengguna untuk mencari maklumat pantas untuk diakses. Seterusnya, terdapat juga fungsi App Library. Ciri ini dilihat sama seakan talam notifikasi yang mana setiap aplikasi akan dikumpulkan secara automatik mengikut kategori dalam satu fail khusus. Kawalan privasi juga dilihat lebih menyeluruh pada peranti pintar ini. Salah satu daripadanya, lampu LED ada menyala pada bahagian hadapan sekiranya aplikasi kamera didapati sedang aktif.

Kamera :

Untuk tetapan kamera, iPhone 12 Mini memiliki sistem kamera yang sama seperti iPhone 12. Konfigurasinya terdiri dengan dua lensa 12-Megapixel di belakang dan juga satu lensa kemudiannya digunakan pada kamera hadapan. Tetapi, perlu anda tahu bahawa iPhone 12 Mini tidak mempunyai lensa telefoto seperti yang terdapat pada model iPhone 12 Pro dan Pro Max. Selain itu, sensor ini juga boleh merakam video tertinggi 4K HDR sehingga 60fps. Bagaimanapun, ia akan terhad pada kadar bingkai 30fps apabila ciri Dolby Vision HDR diaktifkankan menerusi tetapan.

Bercakap mengenai kualiti, baik atau buruk sebenarnya bergantung kepada pilihan peribadi pengguna sendiri. Tapi pada hemat penulis, hasil gambarnya boleh dipuji.Kebanyakan gambar yang diambil nampak cukup jelas dan terang. Ini termasuklah untuk penggambaran untuk waktu malam. Jika diteliti, ketajaman dan keperincian pada imej nampak baik dengan hingar yang minima. Kemudian, warna terhasil juga seimbang dan tepat menyerupai warna asal. Gambar sudur lebar juga nampak menarik dengan kontras yang baik.

Lebih menariknya lagi, mod malam pada kamera kini boleh digunakan pada kesemua lensa – termasuklah lensa utama, sudut lebar dan juga kamera swafoto. Seperti biasa, mod ini akan diaktifkan secara automatik apabila kamera mengesan tahap pencahayaan yang rendah. Anda kemudiannya akan diberi pilihan – sama ada mahu mengaktifkan atau mematikan fungsi ini.

Seperti yang penulis katakan di beberapa perenggan di atas, hasil penggambaran malam dilihat baik. Hasilnya cukup memuaskan apabila mod malam ini diaktifkan. Gambar nampak cantik dengan keperincian yang baik. Cumanya, apabila mod ini dimatikan. Hasilnya dilihat menjadi kurang menarik, kontras serta perincian pada gambar juga berkurang dan masalah hingar yang ketara boleh dilihat di sini.

Bateri :

Kalau anda perasan, Apple tidak pernah mendedahkan maklumat lanjut berkaitan kapasiti bateri pada peranti pintar mereka. Sehinggakan, ia tertiris sendiri. iPhone 12 Mini mempunyai kapasiti bateri sebesar 2,227mAh. Bercakap soal ketahanan, iPhone 12 Mini mampu bertahan sekitar 6 jam dengan skrin terpasang – di mana, 100% sehingga 20%. Ia bagaimanapun, mungkin akan sedikit berubah bergantung kepada penggunaan masing-masing. Untuk proses pengecasan semula pula, penulis menggunakan pengecas 20W Apple dan masa yang diambil adalah sekitar 1 jam dan 40 minit untuk penuh.

Untuk makluman juga, iPhone 12 Mini menyokong pengecasan berwayar 20W, nirwayar 12W dengan menggunakan MagSafe dan Nirwayar Qi 7.5W. Tapi, perlu diingatkan bahawa Apple tidak lagi menyertakan kepala pengecas dan juga fon telinga di dalam kotak pembelian, Jadi, anda perlu mendapatkannya secara berasingan dengan harga RM99 untuk sebuah kepala pengecas.

Kesimpulan :

Jadi, iPhone 12 Mini ini sesuai untuk siapa? Pada pandangan penulis, ia sesuai untuk anda yang mahukan peranti pintar dengan binaan yang kecil dan kompak. Saiznya di sini kecil sahaja, menjadikannya ia selesa di tangan. Selesa juga di bawa ke mana-mana dan disimpan di poket.

Kedua, anda yang berkeinginan memiliki iPhone 12. Tetapi, dikekang oleh bajet. Boleh pilih model ini, harganya juga lebih rendah bermula RM3,399. Boleh dikatakan juga, apa yang ada pada iPhone 12. Turut boleh didapati pada iPhone 12 Mini. Cuma bezanya, pada saiz paparan skrin dan juga bateri yang sedikit kecil.

Ketiga, anda yang menginginkan kelainan. Ia sesuai untuk pengguna baru yang mahu berjinak dalam ekosistem Apple. Atau mungkin, pengguna sedia ada Apple seperti pemilik iPhone SE yang inginkan peranti berkuasa.

Dari segi binaan, perisian, rekaan dan kamera, iPhone 12 Mini sememangnya sempurna. Apa yang kurang, seperti yang dikatakan sebelum ini adalah Apple tidak lagi menyertakan kepala pengecas dan juga fon telinga pada siri kali ini. Jadinya, ia perlu dibeli secara berasingan.

Mungkin bagi sesetengah pengguna, ia tiada masalah. Misalnya, pengguna sedia ada iPhone. Tetapi, perkara ini akan menyukarkan sejumlah pengguna lain seperti mereka yang baru mahu berjinak dengan produk Apple.

Jadi, adakah anda akan memilikinya satu? Atau mungkin sudah membelinya? Jangan lupa kongsikan pendapat dan juga pengalaman anda mengenai siri iPhone 12 kali ini dalam ruangan komen di bawah!

Pro

  • Skrin OLED yang hebat – sokong HDR Dolby Vision
  • Tiada masalah skrin melimpah
  • Prestasi lancar dan memuaskan
  • Fungsi kamera ditambah baik
  • Ketahanan bateri memuaskan

Kontra

  • Masalah skrin malap untuk penggunaan di bawah matahari
  • Masalah sukar untuk mengendali haba dengan baik
  • Pembesar suara yang tidak seimbang

Komen